OLEH CHUAH CHEE HWAI
KLANG, 19 JULAI: Dua loji rawatan sisa kepada tenaga (WTE) di Jeram dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini dan beroperasi mulai suku pertama 2026, kata EXCO Kerajaan Tempatan, Dato’ Ng Suee Lim.
Beliau berkata, kemajuan pembinaan dua loji bersebelahan tapak pelupusan Jeram itu kini mencapai antara 70 hingga 80 peratus dan dijangka mampu memproses sehingga 3,000 tan sisa pepejal sehari.
“Setiap loji boleh menguruskan 1,500 tan sampah sehari, sekali gus mengurangkan beban tapak pelupusan sedia ada yang kini hampir penuh,” katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Program Rejuvenasi Kampung Baru Selangor 2025 di Kampung Bagan Hylam, di sini hari ini.
[caption id="attachment_711186" align="aligncenter" width="697"] Peserta bergotong-royong mengutip sampah pada Program Rejuvenasi Kampung Baru tahun 2025 di Kampung Bagan Hylam Klang pada 19 Julai 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan tapak pelupusan sedia ada seluas 500 ekar kini beroperasi dengan kapasiti harian 5,000 tan, namun dijangka tidak mampu menampung pertambahan sisa dalam tempoh terdekat.
Justeru, Kerajaan Negeri merancang memperluas kawasan pelupusan dengan mengambil tambahan 200 ekar tanah bermula tahun depan, menjadikan keluasan keseluruhan 700 ekar.
“Namun pelupusan berasaskan tanah tidak boleh dijadikan satu-satunya penyelesaian jangka panjang. Justeru, pembinaan loji WTE adalah pilihan terbaik yang lebih mampan,” katanya.
Tambah beliau, sebaik loji WTE beroperasi, sebanyak 3,000 tan sisa akan diproses setiap hari, manakala baki 2,000 tan akan dihantar ke tapak pelupusan sedia ada.
Menurut data, Selangor menghasilkan kira-kira 7,500 tan sisa pepejal setiap hari dan angka itu dijangka mencecah 10,000 tan dalam tempoh 10 tahun akan datang.
[caption id="attachment_711185" align="aligncenter" width="698"] Sukarelawan dari Persatuan Tzu-Chi Malaysia menunjukkan sampah yang berjaya dikutip pada Program Rejuvenasi Kampung Baru tahun 2025 di Kampung Bagan Hylam Klang pada 19 Julai 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
“Bagi menampung keperluan tersebut, negeri ini memerlukan sekurang-kurangnya lima hingga enam loji WTE, termasuk dua di Jeram, dua di Tanjung 12 dan satu di Bukit Tagar.
“Jika keperluan di Jeram terus meningkat, tidak mustahil sebuah lagi loji tambahan akan dibina,” katanya.
Dalam pada itu, Suee Lim turut memaklumkan dua loji di Tanjung 12 kini dalam proses pengambilan tanah, manakala loji di Bukit Tagar masih menunggu kelulusan laporan penilaian impak alam sekitar (EIA).