KAJANG, 19 JULAI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah kualiti pengajian peringkat ijazah di universiti Islam tempatan adalah setanding dengan universiti di luar negara.
Sultan Sharafuddin juga bertitah perkara ini harus dimanfaatkan sepenuhnya bagi mempromosikan universiti Islam tempatan khususnya Universiti Islam Selangor (UIS) yang disifatkan tetap hebat dan setanding dengan institusi di negara-negara Timur Tengah.
“Beta telah membuat satu ketetapan bahawa Kerajaan Negeri dan Lembaga Zakat Selangor (LZS), tidak lagi membiayai para pelajar peringkat diploma dan ijazah pertama ke universiti di negara Timur Tengah.
“Beta menyedari terdapat pihak-pihak yang tidak setuju dan mengkritik ketetapan dan dasar baru ini kerana masih ramai ibubapa yang mahukan anak-anak mereka menyambung pelajaran ke universiti di Timur Tengah.
“Namun demikian, Beta berpendapat Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyediakan sekolah agama yang mempunyai tahap pencapaian akademik yang baik maka adalah bersesuaian untuk kita menfaatkan pelajar-pelajar cemerlang ini untuk ditempatkan di UIS,” titah Baginda.
[caption id="attachment_711131" align="aligncenter" width="670"] Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan hadir Istiadat Pemasyhuran dan Konvokesyen di Dewan Sultan Idris Shah UIS, Hulu Langat pada 19 Julai 2025. Hadir sama Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Baginda bertitah sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Islam Selangor (UIS) ke-27 Dewan Sultan Idris Shah di sini, hari ini.
Sultan Selangor turut menzahirkan harapan agar pelajar tajaan kerajaan dan LZS dapat mempelajari serta menguasai bahasa Arab di universiti Islam tempatan sebelum melanjutkan pelajaran ke universiti di Timur Tengah.
“Namun, bagi pelajar-pelajar yang mengambil ijazah lanjutan di peringkat sarjana dan Doktor Falsafah (PhD), Kerajaan Negeri dan LZS akan terus membiayai dan menggalakkan pelajar UIS untuk melanjutkan pelajaran mereka ke sana.
“Beta juga menaruh harapan tinggi agar Kerajaan Negeri meneruskan komitmen dalam memberikan sokongan kewangan, kemudahan infrastruktur serta mengambil berat kebajikan pelajar dan warga UIS demi kelangsungan sebagai pusat pengajian tinggi Islam yang unggul,” titah Baginda.