OLEH MUHAMMAD HAZIQ ROSHIDI
PUTRAJAYA, 19 JULAI: Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) kembali ke pentas akhir Super School Rugby 2025, kali kedua berturut demi mempertahankan gelaran juara selepas menewaskan Sekolah Menengah Kebangsaan Edward II di separuh akhir.
Jurulatihnya berkata laluan ke final tahun ini lebih mencabar memandangkan majoriti pemain adalah muka baharu yang hanya menyertai pasukan sejak Mac lalu berbanding dengan lawan final mereka, Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) yang mengekalkan barisan pemain edisi lalu.
[caption id="attachment_711125" align="alignleft" width="345"] Jurulatih pasukan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Mohd Razmi Rozan[/caption]
"Walaupun banyak pemain baharu yang sertai Mac lalu, prestasi kami agak baik hingga dapat cecah ke final malah kami mempunyai dua pemain yang menjadi penjaring terbanyak kejohanan ini, mungkin ini dapat menaikkan psikologi dan keyakinan pasukan kami di final nanti," kata Mohd Razmi Rozan.
Beliau berkata demikian ketika sidang media bersama bagi mengumumkan dua pasukan yang layak ke perlawanan akhir Super School Rugby, esok.
[caption id="attachment_711126" align="alignright" width="343"] Jurulatih Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) Yusli Ashan[/caption]
Perlawanan akhir tersebut akan berlangsung di Taman Ekuestrian, Putrajaya jam 4 petang esok, menyaksikan pertembungan sengit dua kuasa besar ragbi sekolah sukan dalam misi menamatkan musim sebagai juara.
Sementara itu, Jurulatih SSMP Yusli Ashan berkata pasukannya tampil dengan tekad tinggi untuk menebus kekalahan edisi lalu, apabila terkandas di separuh akhir, menyifatkan final kali ini sebagai peluang terbaik untuk pasukan menggenggam kejuaraan sulung.
"Kualiti pemain saya tahun ini lebih bagus dari segi taktikal dan fizikal, setiap game menunjukkan peningkatan sedikit demi sedikit dan perlawanan Ahad ini mungkin bergantung kepada pasukan mana yang lebih baik membuat persiapan," katanya.
Yusli turut menambah kedua-dua pasukan adalah seimbang daripada segi kecergasan fizikal, memandangkan semua pemain datang dari latar belakang sekolah sukan dan telah melalui latihan intensif.