Oleh Rafiqah Rauf
SHAH ALAM, 18 JULAI: Usaha menambah kemahiran bukan sekadar untuk menukar pekerjaan, sebaliknya langkah penting bagi meningkatkan produktiviti dan membuka lebih banyak peluang kerjaya.
Pengurus besar Selangor Human Resource Development Centre (SHRDC) berkata ramai beranggapan latihan semula hanya diperlukan apabila ingin beralih kerjaya, hakikatnya ia mampu membawa kepada kenaikan pangkat atau gaji lebih tinggi.
“Kita bukan nak galakkan orang berhenti kerja, tetapi kita nak bantu tingkatkan potensi diri.
"Apabila kemahiran ditambah, mungkin mereka boleh dapat peluang kenaikan atau berpindah ke syarikat lebih baik,” kata Masliza Osman.
Beliau berkata demikian dalam program Bicara Semasa bertajuk 'Upskill' Diri, Kekal Relevan terbitan Media Selangor, baru-baru ini.
[caption id="attachment_711091" align="alignleft" width="289"] Pengurus Besar Selangor Human Resource Development Centre (SHRDC) Masliza Osman[/caption]
Tingkat kemahiran guru, pekerja
Mengulas tentang cabaran peralihan digital yang giat berlaku sekarang, Masliza mengakui kumpulan seperti guru dan pekerja pusat khidmat pelanggan antara yang terkesan dan perlu diberi latihan semula.
"Guru contohnya, perlu menyesuaikan diri dengan pengajaran dalam talian dan penggunaan kecergasan buatan (AI).
"Begitu juga pekerja 'call center', mereka perlu di-upskill untuk menyokong sistem AI yang tidak mampu kendali situasi kompleks atau melibatkan emosi pelanggan,” katanya.
Beliau berpandangan teknologi AI boleh membantu mempercepat tugasan dan mengoptimumkan operasi syarikat terutama dalam inisiatif pendigitalan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“AI sangat membantu, dengan syarat digunakan dengan betul.
"Di SHRDC, kami tawarkan pelbagai program berkaitan AI termasuk kepada PKS."
"Kami bantu mendigitalkan sistem mereka supaya mereka tidak lagi perlu 'key in' secara manual," katanya.
[caption id="attachment_494566" align="alignnone" width="902"] Majikan syarikat Selangor Human Resource Development Centre (SHRDC) memberi taklimat kepada seorang peserta program Jelajah Selangor Bekerja di Dewan Merdeka, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 6 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]
Lepasan SPM bina chatbot dalam sehari
SHRDC juga, katanya, aktif memberi pendedahan awal kepada teknologi baharu termasuk kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurut Masliza, pihaknya dengan kerjasama Kerajaan Negeri serta Unit Korporat SUK melaksanakan program kepada 150 peserta yang menyertai program sehari membina chatbot.
“Saya sangat kagum sebab dalam sehari mereka berjaya hasilkan chatbot sendiri dan buat pembentangan.
"Program sebegini perlu diperluas supaya lebih ramai celik teknologi,” katanya.
Masliza menegaskan SHRDC sentiasa memastikan program latihan ditawarkan selari dengan keperluan semasa industri melalui sesi dialog dan libat urus bersama syarikat utama.
Latihan yang ditawarkan merangkumi teknologi terkini termasuk AI, Industri Revolusi 4.0, 'Smart Factory' dan ICT.
Menariknya, menurut beliau, pusat itu turut menawarkan kursus dalam bidang rekaan kasut, yang kini mendapat perhatian pasaran.
“Dulu banyak kilang kasut di Selangor, tetapi banyak dah berpindah ke luar negara.
"Sekarang tumpuan kita ialah pada rekaan kasut, yang mana SHRDC antara pusat menawarkan latihan ini," katanya lagi.