SHAH ALAM, 18 JUL: Kapasiti tujuh empangan utama di Selangor kini mencapai 90 peratus dan mencukupi bagi menampung keperluan air mentah sekiranya berlaku musim kemarau atau Monsun Barat Daya (MBD).
EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim memberitahu paras air di semua empangan berada dalam keadaan stabil dan dijangka mampu bertahan antara tiga hingga enam bulan tanpa hujan.
[caption id="attachment_710685" align="aligncenter" width="766"] EXCO Infrastruktur dan Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim ditemu bual di pejabatnya di Bangunan Pentadbiran Negeri, Shah Alam pada 16 Julai 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN / MEDIA SELANGOR[/caption]
“Insya-Allah keadaan paras air di semua tujuh empangan utama ini masih stabil dan mampu bertahan tiga hingga enam bulan tanpa berlakunya hujan,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau turut memaklumkan sebanyak 115 kolam di bawah Skim Takungan Air Pinggiran Sungai Selangor (Selangor Off-River Storage Scheme – SORSS) turut diaktifkan bagi membantu menghadapi musim panas atau MBD.
Menurutnya, kolam berkenaan dijangka mampu menampung bekalan sumber air alternatif dan menyokong keupayaan semasa sehingga empat bulan.
“Justeru, masyarakat tidak perlu bimbang kerana kapasiti empangan dan kolam berada pada tahap baik meskipun berlaku musim kemarau,” katanya.
Mei lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyatakan keyakinan bahawa Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) mampu menyediakan penyelesaian sehingga 99 peratus dalam menangani isu pencemaran air dan kemarau di negeri ini.
SJAM merangkumi beberapa komponen utama termasuk:
- pembinaan stesen pam HORAS 600 (Pakej A)
- stesen pam di Rantau Panjang (Pakej B)
- lencongan Sungai Selangor (Pakej C)
- stesen pam kolam di Semenyih
Baru-baru ini, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip melaporkan MBD yang bermula pada 10 Mei lalu dijangka berterusan sehingga pertengahan September.
Tujuh empangan utama di Selangor adalah:
- Empangan Sungai Selangor (Hulu Selangor)
- Empangan Sungai Tinggi (Hulu Selangor)
- Empangan Tasik Subang (Petaling)
- Empangan Sungai Langat (Hulu Langat)
- Empangan Semenyih (Hulu Langat)
- Empangan Klang Gates (Gombak)
- Empangan Batu (Gombak)
[caption id="attachment_504788" align="aligncenter" width="786"] Keadaan di sekitar Empangan Semenyih yang merupakan empangan utama di Lembah Klang. Foto Facebook Air Selangor[/caption]