ad
EXCO

Selangor bina rumah Orang Asli guna teknologi IBS, lonjak kesejahteraan komuniti

18 Jul 2025, 12:30 PM
Selangor bina rumah Orang Asli guna teknologi IBS, lonjak kesejahteraan komuniti

SHAH ALAM, 18 JULAI: Kaedah sistem binaan berindustri (IBS) akan digunakan bagi pembinaan kediaman baharu masyarakat Orang Asli di Selangor menerusi program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin.

EXCO Hal Ehwal Orang Asli, V Papparaidu berkata, inisiatif pembasmian kemiskinan yang diluluskan tahun lalu melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) itu menyasarkan pembinaan tujuh unit rumah baharu menggunakan teknologi IBS yang lebih moden dan efisien.

Menurutnya, bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar dan menepati piawaian, pihaknya telah mengadakan lawatan kerja ke tapak IBS di Bukit Lintang, Melaka bagi meninjau sendiri proses pembinaan rumah menggunakan teknologi tersebut.

“Teknologi IBS terkenal dengan ciri-ciri pemasangan cepat, jimat kos, tahan lama dan mesra alam yang diyakini mampu mempercepat penyediaan kediaman selesa kepada masyarakat Orang Asli sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka.

“Selangor komited memastikan setiap lapisan masyarakat termasuk komuniti Orang Asli mendapat hak untuk memiliki kediaman yang selesa dan berkualiti.

“Program ini selaras agenda pembangunan inklusif dan pembasmian kemiskinan yang digariskan dalam dasar Kerajaan Negeri,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Papparaidu, lawatan berkenaan turut disertai Penolong Pengarah Seksyen Sektorial UPEN Idayuamimah Ibrahim, Pengurus Kanan Unit Perancangan dan Pembangunan Hartanah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Kamarul Zaki Khalid dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) Edi Zuhri Abd Rahim.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.