SHAH ALAM, 18 JUL: Agihan bantuan pembiayaan sewa rumah fasa kedua kepada mangsa letupan saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya dijadualkan awal Ogos ini.
EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah berkata ketika ini proses kemas kini data bancian sedang dilaksanakan bagi memastikan hanya individu yang layak sahaja menerima bantuan.
[caption id="attachment_700160" align="aligncenter" width="761"] EXCO Perumahan dan Kebudayan Datuk Borhan Aman Shah bercakap kepada media selepas Program Anti Rasuah Key Communicator dan Wira Anti Rasuah di Masjid At Toyyibin Kampung Endah, Kuala Langat pada 8 Mei 2025. FOTO HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Ini memandangkan rumah yang terjejas dalam kategori kerosakan kecil sudah dibaik pulih dan boleh didiami.
“Kertas cadangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan dibincang dalam masa terdekat untuk memaklumkan hala tuju penyelesaian bagi melanjutkan tempoh bayaran bantuan terbabit,” katanya kepada Media Selangor.
Bagi fasa pertama meliputi bayaran sewa bagi April hingga Jun, beliau memaklumkan Kerajaan Negeri telah mengagihkan lebih RM2.1 juta melibatkan 357 mangsa.
“Secara keseluruhan, seramai 455 mangsa layak menerima bantuan ini namun hampir 100 daripadanya tidak mengemukakan dokumen lengkap.
“Manakala seramai tiga mangsa sahaja memilih untuk menyewa Rumah SelangorKu bawah program Smart Sewa,” jelasnya.
Pada April, Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan kira-kira RM7.356 juta bagi menampung kos sewaan rumah 613 keluarga yang terlibat insiden letupan saluran gas Petronas di Putra Heights yang berlaku 1 April lalu
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan merangkumi sumbangan RM2,000 kepada setiap keluarga sepanjang enam bulan, anggaran tempoh untuk mangsa membaiki atau membina semula rumah.