Bawah naungan kubah biru Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, ribuan peserta Festival Turath Islami Selangor bersila penuh adab. Lutut bertemu lutut, bersatu hati mendengar dan bertalaqqi bersama ulama terkemuka dunia.
Kebanyakan peserta daurah sejak festival itu membuka tirai pada 12 Julai merupakan pelajar pondok dari seluruh negara dan selatan Thailand.
Kesemuanya lengkap berbaju Melayu, berkain pelikat dan berserban menekuni dua kitab agung: Pengantar Ilmu Tafsir dan Tafsir al-Jalalain.
Tiada yang berbual kosong. Rata-rata pandangan tertumpu ke pentas utama menunggu syarahan bermula sambil tangan bersedia mencatat huraian ilmu.
Seluruh ruang senyap sebaik pakar tafsir Universiti al-Azhar Prof Emeritus Dr Abdul Fattah Abdul Ghany Al-Awari mulakan bicara.
Kalimatnya lembut tetapi tegas. Beliau memberi amaran mengenai kewujudan dua kelompok berbahaya dalam memahami tafsir.
“Pertama, golongan terlampu guna akal. Mereka nak menyatakan kemajuan sehingga menafikan (karya) peninggalan ulama terdahulu.
“Kedua, golongan jumud kepada nas. Tidak keluar langsung daripada apa yang disebut oleh nas. Akhirnya berlaku pertentangan antara akal dan nas wahyu,” katanya dalam sesi diterjemah Ustaz Ahmad Faiz Mohd Khalil.
Beliau juga menyifatkan kedua-dua kumpulan tersebut sebagai menyesatkan kerana menghina turath dan mengabaikannya.
“Kelompok pertama mahu menghancurkan turath dengan menyatakan ‘akal kami lebih bijak dan hebat’. Itulah kaum modenisme, sekular yang tolak panduan ulama. Sebahagian mulut jahat mereka kata turath ini jijik dan busuk.
“Cukup buruk ucapan mereka. Kelompok kedua jumud pula, kita bawa ijtihad ulama dulu, mereka kata tak perlu panduan ulama. Cukup kami rujuk kepada al-Quran. Kedua-dua kelompok ini sama sahaja dan bahaya,” tegasnya.
Justeru, beliau mengajak umat Islam kembali menghargai turath sebagai identiti dan jati diri. Malah, ulama juga harus memikul amanah dan mempertahankannya agar tidak hilang ditelan zaman.
[caption id="attachment_710026" align="alignnone" width="776"] Orang ramai hadir mendengar kupasan kitab sempena Festival Turath Islami Selangor 3.0 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Shah Alam Selangor pada 12 Julai 2025. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]
Dalam sesi sama, Dr Abdul Fattah menghuraikan latar belakang Imam as-Suyuti. Beliau kemudian meneruskan pengajian asas ilmu tafsir dalam dua sesi tambahan pada sebelah petang dan malam.
Keesokannya, giliran Prof Dr Idris al-Kharshafi dari Maghribi mengambil tempat, menghuraikan surah al-Fatihah dan Yasin dalam tiga sesi daurah (pengajian). Dua surah itu menekankan keesaan Allah serta peringatan hari pembalasan.
Pada 14 Julai, Dr Abdul Fattah yang juga bekas dekan Kuliah Usuluddin kembali membimbing sesi pengajian dengan mengupas surah al-Waqi’ah. Beliau menjelaskan suasana hari Kiamat serta tiga golongan manusia pada waktu itu.
Sesi malam pula menyaksikan Dr Idris merumuskan makna besar surah itu secara mendalam. Beliau juga membimbing peserta untuk merenung keinsafan dan kekuasaan Ilahi yang digambarkan dalam ayat-ayat al-Quran.
Setakat 16 Julai, 15 syarahan selesai disampaikan. Ia sebahagian daripada keseluruhan 20 sesi daurah tafsir sepanjang penganjuran festival tersebut.
Sesi lain akan disampaikan dua lagi tokoh, Dr Majd Makki (17 Julai) dan Dr Adi Hidayat (18 Julai) sebelum acara ini melabuhkan tirainya pada 20 Julai.