ad
AGENSI

Ops Kesan: KPDN Selangor periksa 120 premis, 416 barangan sejak 1 Julai

18 Jul 2025, 6:51 AM
Ops Kesan: KPDN Selangor periksa 120 premis, 416 barangan sejak 1 Julai

SHAH ALAM, 18 JULAI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menjalankan pemeriksaan ke atas 120 premis sejak 1 Julai lalu bagi memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga susulan peluasan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Selangor, Mohd Hanizam Kechek berkata, pemeriksaan itu melibatkan 416 jenis barangan unit simpanan stok (SKU) merangkumi barangan basah dan makanan dalam tin di seluruh negeri.

“Kesemua premis telah diberi notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) untuk mendapatkan maklumat terperinci berkaitan harga dan kos barangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, pemeriksaan dijalankan di bawah Ops Kesan 4.0 sebagai langkah intervensi bagi memastikan peniaga kekal beretika dan tidak mengambil kesempatan terhadap pengguna.

Tambah beliau, sebelum pelaksanaan peluasan SST pada 1 Julai lalu, pihaknya telah melaksanakan Ops Gempur di 1,045 premis dalam tempoh 12 jam sebagai tindakan awal penguatkuasaan.

“KPDN akan mengambil tindakan tegas sekiranya kenaikan harga yang tidak munasabah dilakukan dan tidak sejajar dengan perundangan pencatutan, individu yang disabitkan kesalahan melakukan pencatutan boleh didenda sehingga RM100,000 atau tiga tahun penjara, atau kedua-duanya sekali.

“Manakala bagi syarikat, denda sehingga RM500,000 boleh dikenakan jika disabitkan kesalahan,” ujarnya.

Beliau turut menyeru orang ramai menyalurkan aduan lengkap dan tepat berkaitan manipulasi harga melalui talian Pusat Arahan Penguatkuasaan di 03-8882 6245 / 6088, WhatsApp 012-665 4292 atau portal e-Aduan KPDN di pautan https://eaduan.kpdn.gov.my.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.