OLEH YASMIN RAMLAN
SHAH ALAM, 18 JULAI: Kerajaan Selangor berusaha untuk mempercepat penempatan pegawai perubatan lantikan tetap di hospital dan klinik kerajaan seluruh negeri berikutan kebimbangan kekurangan doktor serta pakar.
EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata pentadbiran bertindak secara proaktif memperkukuh sistem kesihatan negeri memandangkan beban pesakit yang meningkat seiring kepadatan penduduk Selangor, negeri paling ramai penduduk.
"Kerajaan Negeri bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mempercepatkan proses penempatan pegawai perubatan tetap di fasiliti KKM di Selangor," katanya kepada Media Selangor.
Pada 12 Julai, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengulangi komitmen KKM untuk mengekalkan warga kerja kesihatannya dalam sektor awam namun mengakui kuasa undang-undang yang terhad untuk menghalang mereka daripada meraih peluang di luar negara.
[caption id="attachment_702103" align="aligncenter" width="681"] Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. Foto BERNAMA[/caption]
Dzulkefly berkata usaha yang sedang dijalankan adalah pemberian insentif kepada kakitangan KKM untuk kekal berkhidmat dengan mempercepat proses penempatan tetap bagi doktor kontrak.
Kenyataan dibuat susulan laporan media hospital-hospital di Singapura merekrut profesional perubatan Malaysia dengan menawarkan gaji yang tinggi.
Jamaliah berkata, Kerajaan Negeri kekal fokus mengenal pasti dan menangani cabaran utama dalam sistem kesihatan awam, khususnya kesesakan pesakit dan masa menunggu yang panjang.
Beliau berkata demikian berdasarkan dapatan lawatan tapak ke lima hospital utama negeri ini, iaitu Hospital Sultan Idris Shah di Serdang, Hospital Tengku Permaisuri Norashikin di Kajang, Hospital Shah Alam, Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang.
"Antara isu utama yang kami perhatikan ialah kesesakan pesakit dan waktu menunggu yang panjang, yang memerlukan perhatian segera," katanya lagi.
Jelasnya, Kerajaan Negeri turut memperkukuh kerjasama dengan hospital awam, KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, termasuk memainkan peranan sokongan dalam menggalakkan penggunaan teknologi dan sistem penjagaan kesihatan terkini.
Menurut beliau, permohonan juga telah dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan tambahan kakitangan, peralatan perubatan dan peningkatan kapasiti pengurusan.
Jamaliah turut mengalu-alukan inisiatif KKM mengurangkan masa menunggu melalui pelaksanaan sistem pengurusan kandungan berasaskan awan di 156 klinik kerajaan, yang menyasarkan rawatan 70 peratus pesakit dalam tempoh 30 minit.
[caption id="attachment_709088" align="aligncenter" width="686"] EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin ditemui media selepas majlis penyampaian watikah pelantikan Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, bangunan pentadbiran negeri, Shah Alam pada 28 Februari 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Jamaliah berkata penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan sistem digital akan mempercepatkan lagi pengurusan pesakit dan mengurangkan kesesakan di kawasan menunggu.
Beliau menekankan komitmen negeri untuk memperkukuh kesihatan komuniti melalui program seperti Iltizam Selangor Sihat, Bantuan Sihat Selangor, dan Selangor Mental Sihat.
“Fokus kami adalah pada penjagaan kesihatan pencegahan, mengurangkan keperluan untuk lawatan ke hospital dengan memastikan komuniti kami lebih sihat,” ujarnya lagi.
Mengulas perkembangan lain, Jamaliah berkata Hospital Selgate Rawang milik Perbadanan Pembangunan Negeri Selangor yang akan dibuka tidak lama lagi juga mampu mengurangkan tekanan ke atas hospital kerajaan.
"Hospital ini akan menempatkan lebih 200 katil dan akan memberi perkhidmatan kepada penduduk di kawasan sekeliling, membantu mengurangkan kesesakan di hospital awam," katanya.
Menerusi Belanjawan Selangor 2025, sejumlah RM40 juta diperuntukkan untuk melaksanakan program-program kesihatan yang merangkumi skim penjagaan jantung, saringan kesihatan dan saringan kesihatan mental.