ad
AGENDA

Polis siasat kes pelajar maut terjatuh bangunan asrama sekolah

18 Jul 2025, 4:17 AM
Polis siasat kes pelajar maut terjatuh bangunan asrama sekolah

KUALA LUMPUR, 18 JULAI: Kejadian seorang pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Agama (SMA) Tun Datu Mustafa Limauan di Sabah yang meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama kini dalam siasatan pihak polis, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung kejadian melibatkan pelajar perempuan dikenali sebagai Zara Qairina itu.

“Saya dan Pengurusan Tertinggi Kementerian telah menziarahi keluarganya di hospital bagi memastikan semua keperluan disediakan dan kebajikan keluarga terpelihara.

“Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah juga telah menyalurkan bantuan segera kepada keluarga itu termasuk dalam aspek sokongan psikososial,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Fadhlina meminta masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi pada waktu ini yang mungkin boleh menggangu siasatan selain menghormati privasi keluarga.

“Tindakan sewajarnya akan diambil berdasar kepada hasil siasatan tersebut,” katanya yang turut mengucapkan takziah kepada keluarga berkenaan dan mendoakan mereka diberi kesabaran serta ketabahan menghadapi ujian berat berkenaan.

Semalam pengguna Facebook menggunakan nama Dun Sindumin Sipitang memuat naik hantaran mengenai kejadian melibatkan Zara Qairina itu.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.