ad
BERITA UTAMA

16 permainan catur Melayu latih strategi perang zaman lalu

18 Jul 2025, 3:00 AM
16 permainan catur Melayu latih strategi perang zaman lalu
16 permainan catur Melayu latih strategi perang zaman lalu
16 permainan catur Melayu latih strategi perang zaman lalu
16 permainan catur Melayu latih strategi perang zaman lalu
16 permainan catur Melayu latih strategi perang zaman lalu
16 permainan catur Melayu latih strategi perang zaman lalu
16 permainan catur Melayu latih strategi perang zaman lalu
16 permainan catur Melayu latih strategi perang zaman lalu
16 permainan catur Melayu latih strategi perang zaman lalu

Di sebalik kemasyhuran catur moden, tersembunyi satu permainan papan tradisional masyarakat Alam Melayu yang kian pupus dikenali sebagai catur Melayu. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi kaya dengan sejarah, nilai strategi dan jati diri.

Sempena Hari Catur Sedunia pada 20 Julai, wartawan pelatih MUHAMMAD HAZIQ ROSHIDI dan jurugambar TENGKU AMIR IMRAN TENGKU ABDUL RASHID menyingkap kembali permainan warisan itu menerusi kajian dilakukan penyelidik sejarah dan tamadun Alam Melayu Dr Mohd Hasanuddin Mohd Yusof, bukan hanya untuk dikenang tetapi dihidupkan semula.

Kajian tersebut dibukukan dalam naskhah berjudul Catur Melayu Permainan Uji Akal Di Alam Melayu. Ia hasil penyelidikan selama enam tahun merentasi Malaysia, Indonesia, Brunei dan Filipina.

Catur Melayu pernah dianggap sebagai alat latihan strategi peperangan pada masa lalu. Naskhah sejarah Melayu, Sulalatus Salatin dan Tuhfat an-Nafis menyatakan ia sebagai permainan menguji akal yang dimainkan ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka (abad ke-15).

Catatan Tun Sri Lanang dalam Sulalatus Salatin turut menyebut dua pakar catur terkenal iaitu Tun Bahara dan Tun Pikrama. Hikayat Hang Tuah pula merekodkan Sultan Melaka juga diasuh dengan ilmu permainan catur gajah, salah satu permainan catur Melayu sejak kecil.

Permainan itu turut dimainkan pada abad ke-16. Ulama terkenal Aceh Syeikh Hamzah Fansuri ketika menulis kitab tasawuf bertajuk Asrarul Arifin menjadikan catur gajah sebagai salah satu perumpamaan dalam menjelaskan mengenai perbahasan ilmu kerohanian.

Selepas era Kesultanan Melaka, catur Melayu terus berkembang dalam tradisi istana Pahang, Johor dan Perak. Wilayah-wilayah lain dalam gugusan kepulauan Alam Melayu seperti Aceh, Jawa dan Sulawesi turut menjadikannya sebagai salah satu permainan rakyat.

Namun lama-kelamaan permainan itu tenggelam kerana kehadiran catur moden sebagaimana dinyatakan oleh Jeman-Lousi Cazaux dan Rick Knowlton dalam buku mereka, A World of Chess (2017).

“Jika kita tanya 10 orang tentang permainan tradisional Melayu, kemungkinan semua akan sebut congkak. Tiada yang akan kata catur harimau.

“Ketiadaan badan rasmi pejuang dan perkenalkan catur Melayu secara sistematik sebabkan ia semakin dilupakan. Tambahan pula ramai tidak mengetahui kewujudannya,” kata Dr Mohd Hasanuddin.

Kajian anak jati Langkap, Perak itu menemukan kira-kira 16 jenis permainan tradisional ini wujud dalam budaya Melayu. Antaranya catur gajah, catur harimau, catur perang, catur raja, pasang, catur Jawa, main sodok apit, catur sembilan dan cuki.

Hakikatnya, catur Melayu bukan permainan biasa. Ia ibarat latihan taktikal yang membina kemahiran berfikir. Catur harimau umpamanya memerlukan pemain buah kambing mengelak dari kepungan ‘harimau’ manakala catur perang mensimulasikan penaklukan kubu musuh.

Menariknya, pemainan ini juga boleh merapatkan hubungan silaturahim antara pemain. Sebagai contoh, “permainan pasang dijadikan satu adat malam pertama perkahwinan antara dua mempelai pengantin”. Ia bertujuan mewujudkan kemesraan antara pasangan baharu bernikah.

Walaupun menggunakan papan dan buah catur seakan-akan serupa dengan catur moden, catur Melayu mempunyai keunikan tersendiri. Permainannya lebih ringkas dan cepat. Ia juga tiada ukiran makhluk hidup, ada kepelbagaian bentuk papan dan gaya permainan berbeza.

Catur Melayu mengingatkan kita bahawa permainan juga cerminan tamadun. Ia menggabungkan unsur intelek, adat dan jati diri sekali gus membuktikan orang Melayu bukan saja pelaut dan pejuang tetapi juga pemikir dan perancang hebat.

Menghidupkan kembali catur Melayu bukan nostalgia semata-mata tetapi usaha menyemai semula akar budaya dalam minda generasi akan datang.

Pada 18 Julai, Dr Mohd Hasanuddin berkongsi asal-usul dan keunikan pergerakan permainan itu antara jam 2.30 hingga 6.30 petang dalam program Sembang Buku dan Bengkel Catur Melayu.

Acara dalam Festival Buku Islami di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam bersempena Festival Turath Islami Selangor kali ketiga yang dijadual berakhir pada 20 Julai.

Dr Mohd Hasanuddin merangka strategi permainan catur gajah ketika program Resureksi Catur Melayu di Kuala Langat pada 4 Mei lalu.

 

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.