SHAH ALAM, 18 JULAI: Selangor menekankan keseimbangan di antara kemajuan fizikal dan pembangunan jiwa dengan pengembangan ilmu yang dijadikan teras utama membentuk masyarakat berilmu, berakhlak tinggi dan progresif.
Dato’ Menteri Besar berkata penganjuran Festival Turath Islami Selangor (FTIS) umpamanya, antara usaha Selangor mengimbangi kemajuan fizikal, pembangunan ekonomi rancak dan kehidupan masyarakat moden dengan pengisian jiwa dan kefahaman terhadap agama.
Dato’ Seri Amirudin menjelaskan pengajian dan pendidikan kitab turath yang betul, disertai penelitian mendalam, mampu mengelak pemesongan akidah atau terbawa-bawa dengan elemen ekstrem hingga membawa kepada budaya takfir dan khuluk, yang selama ini menimbulkan keresahan dalam masyarakat.
[caption id="attachment_710910" align="alignnone" width="817"] Orang ramai menghadiri Majlis Perasmian Festival Buku Islami dan Pelancaran Buku Muhaddisat: Wanita Periwayat Hadis di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 17 Julai 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Kita cuba mencari titik keseimbangan di antara kemajuan, pembangunan, kerancakan ekonomi dan kehidupan moden yang pantas dengan penelitian (kitab turath) mendalam, supaya jiwa kita turut diisi dengan pengertian dan pemahaman tentang agama dan kehidupan.
“Sudah pasti hari ini, kesedaran terhadap agama sudah semakin tinggi. Setelah kita ditimpa dengan pelbagai krisis, seperti pandemik Covid-19 sebagai contoh, meningkatkan kesedaran yang begitu tinggi dalam kalangan masyarakat terutama anak muda, terhadap agama dan penilaian mereka tentang agama Islam.
“Saya percaya pengajian dan pendidikan yang betul, di samping penelitian yang mendalam, tidak mudah untuk dipesongkan dan terbawa-bawa dengan elemen ekstrem hingga membawa kepada budaya takfir ataupun khuluk yang selama ini sedikit sebanyak mungkin membawa keresahan kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Festival Buku Islami 2025 sempena FTIS 2025 di masjid negeri malam tadi.
[caption id="attachment_710911" align="alignnone" width="940"] Pengunjung melawat reruai penjual buku ketika Majlis Perasmian Festival Buku Islami di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 17 Julai 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Amirudin berkata sudah terbukti tamadun dan kerajaan yang berjaya sering dikaitkan dengan pengembangan ilmu, pemantapan pengetahuan dan pembangunan pemikiran masyarakat yang seimbang daripada segi rohani dan intelek.
“Kemajuan bukan hanya melihat bangunan indah, agam dan megah atau pembangunan ekonomi yang mantap, tetapi sejak dahulu sehingga kini, tamadun besar atau contoh kerajaan yang baik adalah kemampuannya untuk membangunkan ilmu pengetahuan dan menghidupkan rakyatnya dengan jiwa dan akal yang sihat,” katanya.
[caption id="attachment_710912" align="alignnone" width="832"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bersama tetamu jemputan memegang buku Muhaddisat: Wanita Periwayat Hadis ketika pelancaran buku itu sempena Majlis Perasmian Festival Buku Islami di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 17 Julai 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Terdahulu, pada majlis itu turut dilancarkan buku Muhaddisat: Wanita Periwayat Hadis karya Syeikh Dr Mohammad Akram Nadwi, terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) dengan kerjasama Media Selangor Sdn Bhd. Pelancaran disempurnakan Pengarah Badan Pemikir Polity, Nurul Izzah Anwar.
Ditemui selepas majlis itu, Amirudin berkata FTIS 2025 mendapat sambutan menggalakkan tahun ini dengan penyertaan sekurang-kurangnya 1,000 peserta dalam setiap sesi perkongsian ilmu dan aktiviti berkaitan festival berkenaan, selain 30 penerbit menyertai program itu dengan lebih 1,000 judul buku dipamerkan.
FTIS 2025 berlangsung sejak 12 Julai hingga Ahad ini, memperkenalkan dua acara baharu iaitu Munaqasyah Ilmiah dan Festival Buku Islami yang dijangka menarik minat golongan akademik, pelajar serta peminat buku dan kajian Islam.
Mula dianjurkan pada 2023, FTIS merupakan ilham Amirudin yang berhasrat menghidupkan pengajian Islam secara tradisional di negeri ini dan seterusnya berkembang ke seluruh negara.