Oleh DANIAL DZULKIFLY
AMPANG, 17 JULAI: Kerajaan Negeri bercadang melanjutkan kempen Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025) susulan sambutan diterima amat memberangsangkan.
EXCO kerajaan tempatan berkata cadangan berkenaan sedang dalam perbincangan sama ada untuk melanjutkan kepada setahun atau dua tahun lagi.
Jelas Dato' Ng Suee Lim, berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan, Selangor merekodkan kehadiran 34.5 juta pelawat domestik tahun lalu, jumlah tertinggi dalam negara bagi empat tahun berturut-turut.
“Disebabkan sambutan yang luar biasa di Selangor, kita yakin dapat mencapai matlamat ini.
"Kita sudah pun merancang untuk melanjutkan promosi di bawah kempen TMS. Sama ada lanjutan itu selama satu atau dua tahun masih belum diputuskan, tetapi yang pasti, ia akan dilanjutkan bagi mengekalkan momentum yang sedia ada," katanya.
[caption id="attachment_710873" align="alignnone" width="881"] EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling bergambar bersama wakil penaja di Majlis Hi-Tea Tourism Selangor bersama media dan pempengaruh di Tamarind Springs, Ampang Jaya pada 17 Julai 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Beliau berkata demikian pada Majlis Hi-Tea Media dan Pempengaruh anjuran Tourism Selangor di Tamarind Springs hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling.
Suee Lim juga yakin Selangor berjaya mencapai sasaran untuk menarik lapan juta pelawat selain menjana hasil pelancongan sebanyak RM11.2 bilion menjelang akhir tahun ini.
[caption id="attachment_710875" align="alignleft" width="347"] Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling[/caption]
Sementara itu, Yee Ling dalam ucapannya berkata ketibaan pelancong ke Selangor mencecah 1.77 juta, dengan 72 peratus merupakan pelawat domestik setakat Mac lalu.
Jelasnya, baki pelancong luar negara pula terdiri dalam kalangan pelawat dari China, Singapura, Indonesia, Jepun dan India.
Bagi Tahun Melawat Malaysia 2026, kerajaan persekutuan menyasarkan kehadiran 45 juta pelancong. Data pelancongan terkini menunjukkan Malaysia menerima sekitar 38 juta pelancong pada tahun lalu.