ad
AGENSI

30,000 pengunjung disasar hadir Pameran Pelancongan Selangor di Pasar Seni 26–27 Julai

17 Jul 2025, 12:09 PM
30,000 pengunjung disasar hadir Pameran Pelancongan Selangor di Pasar Seni 26–27 Julai
30,000 pengunjung disasar hadir Pameran Pelancongan Selangor di Pasar Seni 26–27 Julai
30,000 pengunjung disasar hadir Pameran Pelancongan Selangor di Pasar Seni 26–27 Julai

Oleh Danial Dzulkifly

AMPANG JAYA, 17 JUL: Tourism Selangor menyasarkan kehadiran 30,000 pengunjung sempena Pameran Pelancongan Selangor yang dijadual berlangsung di Pasar Seni, Kuala Lumpur pada 26 dan 27 Julai.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Chua Yee Ling berkata pameran yang melibatkan lebih 30 pempamer tempatan itu menampilkan produk pelancongan, persembahan kebudayaan dan pelbagai aktiviti interaktif sempena kempen Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025).

[caption id="attachment_710875" align="aligncenter" width="814"] Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling bercakap kepada media selepas Majlis Hi-Tea Tourism Selangor bersama media dan pempengaruh di Tamarind Springs, Ampang Jaya pada 17 Julai 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

“Penganjuran ini akan mengetengahkan keunikan sembilan daerah di Selangor merangkumi warisan budaya, perusahaan kecil dan sederhana serta hasil kraf tempatan.

“Antara tarikan lain ialah bengkel, rakaman podcast langsung oleh Media Selangor dan konsert Surprising Selangor yang menampilkan Aizat Amdan, Lah Ahmad dan kumpulan kebudayaan PADAT,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Hi-Tea Tourism Selangor bersama media dan pempengaruh di Tamarind Springs di sini hari ini. Majlis turut dihadiri EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim.

Majlis berkenaan menghimpunkan lebih 100 pengamal media dan pempengaruh sebagai penghargaan atas sumbangan mempromosikan pelancongan negeri.

Menurut Chua, penganjuran acara itu dijangka meningkatkan keterlihatan jenama pelancongan Selangor ke peringkat lebih luas serta menjadi landasan awal kepada Tahun Melawat Malaysia 2026.

Pameran pelancongan tersebut juga menjadi pentas pelancaran rasmi video dan lagu tema kempen “Selangor Kan Ada!” yang merupakan antara inisiatif utama TMS2025.

[caption id="attachment_710874" align="aligncenter" width="808"] Antara aktiviti yang berlangsung ketika Majlis Hi-Tea Tourism Selangor bersama media dan pempengaruh di Tamarind Springs, Ampang Jaya pada 17 Julai 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Setakat Mac lalu, Selangor menerima 1.77 juta pelawat, dengan 72 peratus merupakan pelancong domestik. Baki 28 peratus adalah pelawat antarabangsa, khususnya dari:

  • China (19%)
  • Singapura (12%)
  • Indonesia (6%)
  • Jepun (5%)
  • India (5%)

Kerajaan Negeri menyasarkan lapan juta pelancong dan RM11.2 bilion hasil pelancongan menjelang akhir tahun ini.

Dalam perkembangan sama, Tourism Selangor turut mengumumkan kemas kini mengenai Geran Pelancongan TMS2025 yang dibuka untuk permohonan mulai 1 Julai lalu.

Dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM300,000, geran itu menyokong sehingga 30 penerima di bawah tiga kategori:

  • Discover Selangor (RM10,000)
  • Splendid Selangor (RM20,000)
  • Surprising Selangor (RM30,000)

Permohonan dibuka sehingga 31 Oktober 2025.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.