Oleh Dewi Abdul Rahman
SHAH ALAM, 17 JULAI: Hak milik tanah Rumah Rehat Sabak Bernam (RRSB) akan diberikan kepada Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) untuk dibangunkan semula sebagai destinasi pelancongan.
EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail berkata bangunan tersebut sebelum ini diberikan kepada syarikat bernama Hay Resort, namun timbul beberapa pertikaian yang kini telah diselesaikan.
"Perkara utama yang perlu diselesaikan terlebih dahulu ialah pemindahan hak milik tanah. Bangunan tersebut sebelum ini milik Kerajaan Negeri, dan kini kita mohon supaya ia diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Selepas isu pertikaian diselesaikan, proses pembangunan semula boleh dimulakan. Kita akan ubah wajah rumah rehat. Kita akan mengindahkan juga kawasan sekitar, dari rumah rehat sehingga ke kawasan Sabak Bernam Waterfront’,” jelasnya.
Beliau berkata MDSB ketika ini dalam proses penyediaan kertas kerja dan sedang menunggu kelulusan di peringkat seterusnya.
“Pemindahan hak milik membolehkan PBT melaksanakan kerja baik pulih dan menaik taraf bangunan dengan mengekalkan ciri seni bina tradisional, selaras perancangan menjadikan kawasan itu sebagai destinasi pelancongan berkonsepkan warisan,” jelasnya.
Beliau menjelaskan usaha itu penting bagi mengangkat nilai warisan tempatan, sebagaimana kejayaan Pulau Pinang dan Melaka menarik pelancong melalui elemen warisan masing-masing.
Terdahulu, MDSB memaklumkan status pemilikan RRSB yang tidak berada di bawah tanggungjawab pihaknya menyebabkan lokasi itu terbiar tanpa penyelenggaraan.
MDSB bagaimanapun memaklumkan bersedia membangunkan semula RRSB yang terletak di dalam kawasan pelancongan Sabak Bernam Waterfront sekali gus menghidupkan semula destinasi tersebut.
Jelas MDSB, Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama mengenal pasti RRSB sebagai pusat tumpuan pembangunan di bawah kerangka Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA).
Sebelum ini, media melaporkan pusat perniagaan Sabak Bernam Waterfront yang dahulunya menjadi lokasi tumpuan pelancong kini kelihatan suram dan terbiar, apabila hanya empat daripada lebih 20 unit kedai masih beroperasi.