ISKANDAR PUTERI, 17 JULAI: Bangkai helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terhempas di Sungai Pulai, Gelang Patah di sini minggu lalu dinaikkan 11 pagi tadi dan akan dibawa ke Pasukan Gerakan Udara (PGU) Subang, Selangor untuk siasatan lanjut.
Komander PGU Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Noor Sham Md Jani berkata siasatan terperinci akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU).
“Kerjasama pelbagai agensi mempercepatkan proses menaikkan bangkai helikopter ini dan membolehkan siasatan lebih menyeluruh dijalankan,” katanya ketika dihubungi.
Operasi menaikkan helikopter jenis AS355N dengan nombor pendaftaran 9M-PHG itu dilaksanakan secara berperingkat dengan kerjasama pelbagai agensi sejak awal pagi tadi.
Bangkai helikopter tersebut dinaikkan dengan menggunakan sebuah kapal kren serta beberapa aset PDRM.
Antara agensi terlibat ialah Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Tinjauan di lokasi sejak 7.30 pagi mendapati persiapan operasi dijalankan secara teliti sebelum bangkai helikopter dinaikkan secara berperingkat dan kemudian dibawa ke jeti berhampiran.
Dalam insiden Khamis lalu, helikopter berkenaan terhempas ketika terlibat latihan Multilateral Nuclear Security Detection Exercise (MITSATOM) 2025 yang membabitkan kerjasama antara Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura di Jeti Maritim Gelang Patah.
Setakat 13 Julai lalu, kelima-lima mangsa nahas dilaporkan stabil termasuk dua anggota yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.
- BERNAMA