ad
AGENSI

Sabak Bernam Waterfront terbiar bukan bawah seliaan MDSB

17 Jul 2025, 4:36 AM
Sabak Bernam Waterfront terbiar bukan bawah seliaan MDSB

SHAH ALAM, 17 JULAI: Status pemilikan Rumah Rehat Sabak Bernam (RRSB) yang tidak berada di bawah tanggungjawab Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) menyebabkan lokasi itu terbiar tanpa penyelenggaraan.

MDSB bagaimanapun memaklumkan pihaknya bersedia membangunkan semula RRSB yang terletak di dalam kawasan pelancongan Sabak Bernam Waterfront sekali gus menghidupkan semula destinasi tersebut.

"Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama mengenal pasti RRSB sebagai lokasi berpotensi dan menjadi antara fokus utama Jawatankuasa Perundingan Sabak Bernam (SBCC) dalam Rancangan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA).

“Terbaharu, SBCC mencadangkan agar MDSB mengambil peranan untuk menyelenggara dan membangunkan semula bangunan tersebut dengan sokongan peruntukan yang telah disediakan bagi tujuan berkenaan,” menurut kenyataan MDSB hari ini.

Justeru, MDSB merancang untuk menaik taraf dan memajukan kawasan tersebut sebagai pusat pelancongan berkonsepkan warisan, selari dengan Rancangan Tempatan MDSB 2025 yang memberi tumpuan kepada pembangunan Sabak Bernam sebagai Bandar Warisan Tepian Sungai.

“MDSB akan terus mencari peruntukan dan bekerjasama dengan pelabur yang berminat bagi menghidupkan semula kawasan berkenaan,” jelasnya.

Sebelum ini, media melaporkan pusat perniagaan Sabak Bernam Waterfront yang dahulunya menjadi lokasi tumpuan pelancong kini kelihatan suram dan terbiar, apabila hanya empat daripada lebih 20 unit kedai masih beroperasi.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.