SHAH ALAM, 17 JULAI: Persoalan jiwa dan isu kemanusiaan boleh dikupas melalui karya kitab turath, jelas Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari.
Menurut beliau, karya-karya tersebut mampu memberikan ketenangan jiwa dalam menghadapi hiruk-pikuk kehidupan dan kekeliruan zaman moden.
"Pada pandangan kita di saat ini jawapan terhadap 'modernism' yang menghadapi limitasi dengan perang disana sini akhirnya persoalan gerakan demokrasi di timur tengah tidak menjadi dan huru-hara.
"Justeru, kita kena kembali kepada persoalan kemanusiaan jiwa yang harus diterokai dan banyak karya itu boleh didapati dalam karya turath," katanya.
Beliau berkata demikian dalam rancangan bual bicara Anekdot Pencerahan yang dihoskan oleh Zainal Rashid Ahmad melalui siaran langsung di Facebook ZRA Strim malam tadi.
Mengulas mengenai penganjuran Festival Turath Islami Selangor (FTIS), Amirudin menjelaskan bahawa ia bertujuan mencari titik keseimbangan seiring kemajuan pesat negeri Selangor.
“Selangor adalah negeri paling maju, dan sebab itu kita anjurkan program yang menelusuri sejarah dan tradisi silam seperti ini adalah bagi mencari keseimbangan serta keharmonian dalam kehidupan, di tengah-tengah kekalutan dunia yang serba pantas.
“Inilah cita-cita kita. Walaupun ia bukan sesuatu yang mudah, namun ia adalah usaha yang perlu diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.
FTIS 3.0 yang berlangsung dari 12 hingga 20 Julai menampilkan 18 tokoh agama dan ulama tersohor, dengan tiga sesi pengajian diadakan setiap hari bermula jam 9 pagi, manakala sesi petang berlangsung antara jam 4.45 petang hingga 8.45 malam.
Festival ini turut dimeriahkan dengan pameran sekurang-kurangnya 10 manuskrip kitab turath tulisan tangan yang berusia lebih 100 tahun, bertempat di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor.