ad
AGENSI

KHSB, UMT jalin kerjasama pelihara habitat penyu di Pulau Redang

16 Jul 2025, 2:30 PM
KHSB, UMT jalin kerjasama pelihara habitat penyu di Pulau Redang
KHSB, UMT jalin kerjasama pelihara habitat penyu di Pulau Redang

SHAH ALAM, 16 JUL: Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) memperluas inisiatif tanggungjawab sosial korporat menerusi kerjasama strategik bersama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi melindungi habitat penyu di Pulau Redang, Terengganu baru-baru ini.

Inisiatif konservasi itu dilaksanakan melalui program Penyu Angkat yang turut mendapat kerjasama Sea Turtle Research Unit di Chagar Hutang Turtle Sanctuary sekali gus menggabungkan kepakaran korporat dan akademik dalam usaha memelihara spesies marin terancam.

Ketua Pegawai Operasi KHSB Edi Abdul Rahim berkata sebanyak 20 anak penyu dilepaskan ke laut terbuka sebagai simbolik kepada usaha berterusan dalam memastikan kelangsungan spesies tersebut untuk generasi akan datang.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen KHSB terhadap pemeliharaan biodiversiti marin, khususnya spesies penyu yang semakin terancam.

“Aktiviti pelepasan ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran dan rasa tanggungjawab masyarakat serta sektor korporat terhadap isu pemeliharaan alam semula jadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

[caption id="attachment_710680" align="aligncenter" width="796"] Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Hartanah Selangor Berhad Edi Zuhri Abd Rahim menyempurnakan acara pelepasan anak-anak penyu ketika program Penyu Angkat menerusi kerjasama strategik bersama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Sea Turtle Research Unit di Chagar Hutang Turtle Sanctuary Pulau Redang, Terengganu baru-baru ini. Foto Kumpulan Hartanah Selangor Berhad[/caption]

Menurut beliau, program Penyu Angkat turut berfungsi sebagai platform strategik dalam memperkukuh kerjasama antara sektor korporat dan institusi akademik, di samping memberi manfaat jangka panjang kepada alam sekitar dan masyarakat.

Pada majlis sama, KHSB turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM53,000 kepada UMT untuk pembinaan Balai Saf, sebuah ruang solat yang akan memberi kemudahan kepada pengunjung dan sukarelawan di tapak konservasi tersebut.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.