ad
AGENDA

Australia bangunkan ujian darah berasaskan AI kesan awal barah payudara

16 Jul 2025, 11:00 AM
Australia bangunkan ujian darah berasaskan AI kesan awal barah payudara
Australia bangunkan ujian darah berasaskan AI kesan awal barah payudara

SYDNEY, 16 JUL: Para saintis telah membangunkan ujian darah berasaskan lipid berkuasa kecerdasan buatan (AI) yang pertama di Australia, membolehkan pengesanan barah payudara yang lebih awal dan kurang invasif, lapor Xinhua.

Menurut kenyataan Universiti New South Wales (UNSW) yang disiarkan oleh Medianet pada Rabu, ujian itu kini telah digunakan secara klinikal di beberapa klinik pakar di Sydney dan Melbourne selepas beralih daripada fasa penyelidikan pada Mac 2025.

Berbeza dengan teknik pengimejan dan biopsi tradisional yang boleh terlepas mengesan ketumbuhan serta membawa risiko tertentu, ujian darah berkuasa AI ini mengesan isyarat molekul halus dalam darah yang membolehkan diagnosis barah dibuat beberapa bulan atau bahkan tahun sebelum gejala muncul, kata Profesor Madya Fatemeh Vafaee dari UNSW.

AI memacu kejayaan dengan menganalisis berjuta-juta penanda molekul untuk mengesan tanda-tanda barah awal, menurut Vafaee dan Makmal AI Bioperubatannya di UNSW.

“Dengan mengintegrasikan teknik AI yang boleh dijelaskan, kami memastikan model ini bukan sahaja memberikan keputusan yang tepat, malah memberikan pandangan yang boleh ditafsir secara klinikal – penting untuk membina kepercayaan dan menyokong proses membuat keputusan dalam penjagaan kesihatan dunia sebenar,” katanya.

Makmal itu sedang menyumbang kepada usaha global untuk menjadikan ujian darah berasaskan AI sebagai sebahagian daripada saringan barah payudara standard, menawarkan pilihan baharu yang berguna terutama bagi wanita yang mempunyai tisu payudara padat dan kurang sesuai untuk pengimejan tradisional, menurut pasukan UNSW bersama syarikat bioteknologi Australia, BCAL Diagnostics.

Pasukan itu kini sedang membangunkan ujian pelbagai analit yang menggabungkan pelbagai penanda bio bagi mengesan barah dengan lebih tepat merentasi pelbagai jenis termasuk paru-paru, hati dan otak. Mereka juga sedang meneroka ujian menggunakan bendalir bio lain seperti air kencing dan air liur, sambil berusaha mengintegrasikan pelbagai data untuk memberikan gambaran kesihatan pesakit yang lebih menyeluruh, kata Vafaee.

– BERNAMA-XINHUA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.