Oleh Muhammad Rey Hazriell
SHAH ALAM, 16 JULAI: Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuka pendaftaran bagi pelan tarif elektrik fleksibel Time-of-Use (ToU) untuk pengguna kediaman yang memiliki meter pintar.
Pelan itu menawarkan dua kadar berbeza bergantung waktu penggunaan elektrik, dengan tujuan menggalakkan penggunaan tenaga ketika waktu luar puncak yang lebih murah.
Menurut TNB, waktu puncak ditetapkan dari jam 2 petang hingga 10 malam, Isnin hingga Jumaat, manakala waktu selebihnya termasuk hujung minggu dikira sebagai luar puncak.
Pengguna yang kerap menggunakan elektrik di luar waktu puncak berpeluang menikmati penjimatan berbanding kadar biasa.
Permohonan boleh dibuat secara terus di Kedai Tenaga berhampiran atau melalui e-mel rasmi TNB, [email protected] bermula 1 Julai manakala permohonan dalam talian melalui portal dan aplikasi myTNB akan dibuka mulai 1 Ogos.
Bagi pemilik meter pintar, pelan ToU akan diaktifkan dalam tempoh lima hari bekerja, manakala pengguna meter lama mungkin mengambil masa sehingga dua bulan untuk pemasangan baharu.
TNB memaklumkan terdapat caj tambahan seperti yuran permohonan (RM10) dan caj pengurusan bulanan (RM10), namun pengecualian diberikan kepada pengguna dengan penggunaan rendah.
Pelan ini sesuai untuk isi rumah yang menjadualkan aktiviti penggunaan tinggi seperti mencuci pakaian, memasak menggunakan perkakas elektrik atau mengecas kenderaan pada waktu malam atau hujung minggu.
Pengguna disaran menyemak corak penggunaan masing-masing sebelum mendaftar agar dapat memastikan pelan itu memberi manfaat sebenar.
TNB turut menasihati pengguna agar mempertimbangkan pelan itu secara bijak kerana mereka yang banyak menggunakan tenaga pada waktu puncak mungkin tidak menikmati faedah penjimatan sepenuhnya.