ad
AGENSI

Bekas CEO LZS dilantik setiausaha Mais baharu

16 Jul 2025, 6:17 AM
Bekas CEO LZS dilantik setiausaha Mais baharu

SHAH ALAM, 16 JULAI: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Mohd Sabirin Mohd Sarbini dilantik setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berkuat kuasa hari ini.

Mais memaklumkan pelantikan Mohd Sabirin menggantikan Dr Ahmad Shahir Makhtar yang menamatkan tempoh perkhidmatan semalam dan pelantikan dibuat menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

“Mohd Sabirin berkelulusan Sarjana Muda Perakaunan dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Universiti Putra Malaysia (UPM), beliau turut memegang beberapa jawatan penting termasuk ketua divisyen kutipan, ketua divisyen operasi agihan asnaf dan jawatan terakhir beliau adalah ketua pegawai eksekutif LZS.

“Semoga dengan pelantikan Mohd Sabirin ini akan meneruskan kecemerlangan Mais serta memperkukuhkan lagi agenda memperkasa hal ehwal Islam di Selangor,” kata kenyataan itu lagi.

Selain itu, Mohd Sabirin juga merupakan Perancang Kewangan (RFP Syariah) yang berdaftar di bawah Malaysian Financial Planning Council (MFPC) dan Ahli Persekutuan Percukaian Malaysia (MATA) serta mempunyai tauliah mengajar di negeri ini di bawah agensi berkenaan.

Sementara itu, Mais turut merakamkan penghargaan kepada Dr Ahmad Shahir atas sumbangan, kesetiaan dan khidmat bakti beliau dalam menjalankan tugas yang diamanahkan sepanjang pelantikannya sebagai setiausaha Mais sejak 16 Julai 2019 hingga semalam.

“Sepanjang tempoh tersebut, beliau menerajui Mais dengan penuh komitmen dan dedikasi dalam memperkasakan hal ehwal Islam Selangor termasuk Pelan Strategik Mais 2020-2024 merangkumi semua jabatan hal ehwal Islam Selangor, agensi dan anak syarikat Mais.

“Selain itu, Ahmad Shahir juga memperkasa perkhidmatan Mais ke arah digitalisasi antaranya, pembangunan Sistem e-Tauliah, Wasiat & Hibah (e-siswa) dan e-Faraid selain

mengangkat nama Mais di peringkat antarabangsa,” tambahnya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.