ad
AGENDA

MB: Penubuhan jawatankuasa nilai laporan Putra Heights dibawa ke MMKN

15 Jul 2025, 8:24 AM
MB: Penubuhan jawatankuasa nilai laporan Putra Heights dibawa ke MMKN
MB: Penubuhan jawatankuasa nilai laporan Putra Heights dibawa ke MMKN

SHAH ALAM, 15 JULAI: Penubuhan jawatankuasa bagi menilai laporan penuh insiden Putra Heights akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), kata Dato' Menteri Besar.

Dato' Seri Amirudin Shari berkata bagaimanapun jawatankuasa itu hanya diumumkan selepas laporan insiden tersebut dijadikan dokumen umum.

"Kita akan bawa perkara berkaitan penubuhan ini ke MMKN bagi membincangkan nama yang akan anggotai jawatankuasa termasuk dua nama daripada wakil pembangkang.

"Setakat ini, pembangkang belum beri nama. Kita tunggu laporan keluar secara rasmi dulu, disusun kemudian akan maklumkan bila jawatankuasa ditubuhkan," katanya ditemui pada majlis jalinan sinergi dan apresiasi rakan strategik Platform Selangor (PLATS) 2025 di Foyer SUK hari ini.

[caption id="attachment_710511" align="aligncenter" width="1083"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat reruai pameran Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) ketika majlis Jalinan Sinergi dan Apresiasi Rakan Strategik Platform Selangor di Foyer SUK, Shah Alam pada 15 Julai 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]

Dalam pada itu, Amirudin menjelaskan laporan dibentangkan sebelum ini merupakan penemuan jawatankuasa Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) yang menjalankan tugas dan memahami teknikaliti.

"Saya sudah jelaskan banyak aspek dan semua dakwaan termasuk yang dibuat mereka yang baharu menjadi tokoh minyak dan gas sebaik kes itu berlaku," katanya.

Sebelum ini, pada sidang Dewan Negeri Selangor, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri akan melantik tujuh pakar dalam jawatankuasa siasatan laporan letupan paip gas di Putra Heights.

Beliau turut meminta wakil pembangkang menamakan dua pakar untuk dimasukkan ke dalam jawatankuasa tersebut bagi menangani kekurangan dalam laporan tersebut.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.