SHAH ALAM, 15 JULAI: Kerajaan Negeri memperkukuh kesiapsiagaan mendepani cabaran perubahan iklim dengan merangka tindakan proaktif melibatkan jabatan dan agensi berkaitan.
Dato' Menteri Besar berkata perubahan iklim meningkatkan risiko bencana seperti banjir, kemarau, tanah runtuh, cuaca ekstrem dan kenaikan aras laut, yang jika tidak ditangani akan memberi impak terhadap pembangunan serta sosioekonomi rakyat.
"Pagi ini saya mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negeri Selangor. Antara perkara yang dibincangkan termasuk penstrukturan semula Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negeri dan penubuhan Pusat Adaptasi Perubahan Iklim Selangor (SCAC).
"Perkara lain yang dibincangkan ialah pemantauan penggunaan tenaga bangunan kerajaan bersama SEDA Malaysia, laporan cuaca musim monsun oleh Jabatan Meteorologi dan status sumber air bawah tanah oleh LUAS.
"Komitmen ini selari dengan matlamat menjadikan Selangor sebagai negeri berdaya tahan iklim dan mampan untuk generasi masa depan," kongsi Dato' Seri Amirudin Shari di Facebook.
Beliau turut mengarahkan projek tebatan dipercepatkan bagi mengelak rakyat terkesan dengan bencana seperti banjir kilat.
"Usaha mengatasi bencana banjir seperti projek tebatan banjir mesti dipercepat dan giat dilaksanakan. Ini bagi memastikan rakyat Selangor dapat meneruskan kehidupan dengan baik. Iklim yang tidak menentu boleh mengakibatkan bencana seperti banjir kilat berlaku," katanya.
Pada 19 Mei, Kerajaan Selangor melancarkan SCAC, pusat pertama di negara ini yang memberi tumpuan kepada tadbir urus perubahan iklim.
SCAC turut berperanan menjadi pusat penyelidikan dan penyelarasan dasar iklim berasaskan data dan sains bagi merangka tindakan lebih proaktif menghadapi krisis iklim.