ad
ADN

MBSJ naik taraf longkang Taman Jinma, atasi masalah banjir kilat

15 Jul 2025, 6:54 AM
MBSJ naik taraf longkang Taman Jinma, atasi masalah banjir kilat
MBSJ naik taraf longkang Taman Jinma, atasi masalah banjir kilat
MBSJ naik taraf longkang Taman Jinma, atasi masalah banjir kilat

OLEH CHUA CHEE HWAI

SERDANG, 15 JULAI: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) memperuntukkan RM402,520 bagi menaik taraf sistem perparitan di Taman Jinma, Serdang, sekali gus membantu sekurang-kurangnya 10 keluarga keluar daripada masalah banjir kilat yang kerap berlaku sejak lebih 10 tahun lalu.

Ahli Majlis MBSJ Zon 22, Tey Boon Kiat berkata, projek naik taraf sepanjang 400 meter ini melibatkan pelebaran longkang, pemasangan pagar penghadang, penambahbaikan keupayaan saliran serta aspek keselamatan.

Ia turut melibatkan beberapa laluan utama seperti Lorong Jinma, Jalan Jinma 4 dan Jalan Jinma 6, manakala longkang berpenutup besi di Jalan BS 3/4 pula telah digantikan dengan penutup konkrit untuk ketahanan jangka panjang.

[caption id="attachment_710488" align="aligncenter" width="685"] Ahli Dewan Negeri, Seri Kembangan, Wong Siew Ki (tengah) bersama Ahli Majlis MBSJ Zon 22, Tey Boon Kiat (kanan) dan Ketua Kampung Seri Kembangan, Eric Hong (kiri) bergambar bersama selepas meninjau projek menaiktaraf longkang jalan jinma di Taman Jinma, Subang Jaya pada 15 Julai 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

"Kerja-kerja naik taraf telah berjalan selama dua bulan dan kini hampir siap sepenuhnya. Beliau memaklumkan bahawa sejak kerja dimulakan, tiada lagi kejadian banjir kilat dilaporkan dan pihaknya akan terus memantau keadaan," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Seri Kembangan, Wong Siew Ki, menjelaskan pelebaran longkang dilakukan daripada hanya dua kaki kepada hampir dua meter, manakala pagar penghadang dipasang bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya serta mencegah pembuangan sampah haram.

Beliau turut memaklumkan bahawa reka bentuk longkang lama yang sempit serta tidak sepadan dengan saluran keluar lebih besar di hujungnya menyebabkan air bertakung dan banjir kilat berlaku setiap kali hujan lebat.

[caption id="attachment_710493" align="aligncenter" width="686"] Keadaan longkang jalan jinma yang telah di naiktaraf di Taman Jinma, Subang Jaya pada 15 Julai 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Katanya, projek naik taraf ini turut mengambil kira pembangunan perumahan baharu di sekitar Taman Jinma, dan dijangka dapat menampung peningkatan aliran air dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

“Dengan penambahbaikan kapasiti saliran ini, ia mampu menampung peningkatan aliran air yang dijangka berlaku dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang susulan pembinaan pangsapuri baharu di kawasan ini," katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.