SHAH ALAM, 15 JULAI: Perselisihan faham dipercayai menjadi punca seorang wanita warga asing cedera parah selepas dikelar bekas teman lelakinya di sebuah universiti swasta dekat Subang Jaya semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai tidak berpuas hati terhadap mangsa kerana mendakwa dirinya difitnah kononnya menghalang wanita itu keluar dari rumah, lapor Sinar Harian.
“Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca-punca lain yang mungkin ada kaitan dengan kejadian ini,” katanya.
Suspek yang juga penuntut universiti sama kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan, manakala mangsa sedang menerima rawatan lanjut di Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya.
Media sebelum ini melaporkan bahawa seorang penuntut sebuah universiti swasta cedera parah selepas dikelar pada bahagian leher dalam kejadian di kampus berkenaan.
Mangsa yang juga merupakan penuntut warga asing berusia 20 tahun dikelar menggunakan pisau, dipercayai oleh bekas teman lelakinya yang juga penuntut di universiti sama.