KUANTAN, 15 JULAI: Seorang pengurus perkhidmatan sebuah hotel di sini kerugian RM211,000, selepas terperdaya skim pelaburan tidak wujud dalam talian, bulan lepas.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata lelaki berusia 49 tahun itu, melihat iklan pelaburan menjanjikan pulangan tinggi di Facebook sebelum berhubung dengan seorang wanita menerusi aplikasi WhatsApp.
“Mangsa diberikan pautan untuk menyertai pelaburan dan membuat enam transaksi ke dua akaun antara 4 hingga 11 Jun menggunakan wang simpanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lelaki itu bagaimanapun berasa ditipu selepas perlu membuat bayaran tambahan dan tidak menerima sebarang pulangan daripada pelaburan tersebut.
Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam, dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA