SHAH ALAM, 15 JULAI: Orang ramai dipelawa menghadiri Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor (SCBF) yang akan berlangsung di Kompleks PKNS, Shah Alam dari 24 hingga 27 Julai ini.
Pesta anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) itu menawarkan pelbagai jenis buku dengan diskaun menarik serta pelbagai aktiviti menyeronokkan yang sesuai untuk semua peringkat umur, khususnya kanak-kanak dan keluarga.
Antara aktiviti yang disediakan termasuk:
- Aktiviti seni dan kraf
- Sesi bercerita dan bertemu penulis
- Persembahan khas kanak-kanak
- Cabutan bertuah dan hadiah menarik
- Jualan buku dengan potongan harga istimewa
“Jom bawa seisi keluarga! Pesta ini peluang terbaik untuk habiskan masa berkualiti bersama anak-anak sambil memupuk minat membaca sejak kecil,” menurut kenyataan PPAS di Facebook.
Sebelum ini, Ketua Bahagian Korporat PPAS, Zafrullah Aris, memaklumkan bahawa pesta selama empat hari itu akan disertai kira-kira 100 penerbit dan penjual buku, dengan sasaran kehadiran 90,000 pengunjung.
Penganjuran SCBF merupakan kesinambungan usaha PPAS untuk menggalakkan budaya membaca dalam kalangan kanak-kanak, serta mempelbagaikan genre dan pendekatan dalam industri buku, tidak lagi tertumpu kepada bahan ilmiah atau agama sahaja.
Untuk rekod, Selangor mula menganjurkan Pesta Buku Selangor sejak tahun 2006, sebelum dijenamakan semula sebagai Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) bermula tahun 2022.