ad
AGENDA

Pemandu teksi OKU parah ditikam, dikelar, tiga warga asing ditahan

14 Jul 2025, 2:32 PM
Pemandu teksi OKU parah ditikam, dikelar, tiga warga asing ditahan

JOHOR BAHRU, 14 JULAI: Tiga lelaki warga asing ditahan polis bagi membantu siasatan kes pemandu teksi Orang Kelainan Upaya (OKU) yang cedera parah selepas ditikam dan dikelar dalam kejadian di kawasan asrama pekerja di Desa Cemerlang di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seri Alam ACP Mohd Sohaimi Ishak berkata ketiga-tiga suspek ditahan di lokasi kejadian 2.30 pagi semalam.

"Semua suspek direman empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian 10.30 malam itu, mangsa, Mohd Zulkefli Mydin, 40, dilaporkan parah akibat tikaman di perut dan paha kiri serta kelaran di pergelangan tangan kiri.

Sebelum ini, media melaporkan mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa sedang menunggu penumpang di kawasan berkenaan sebelum didatangi beberapa individu warga asing dipercayai berasal dari Myanmar dan Nepal, yang berada dalam keadaan mabuk.

Mereka dipercayai tidak dapat membuat keputusan sama ada mahu menggunakan perkhidmatan teksi atau tidak.

Salah seorang daripada warga asing terbabit memanggil-manggil mangsa dengan nada provokatif dan apabila mangsa menghampiri mereka, dia diserang secara tiba-tiba menggunakan senjata tajam.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.