JASIN, 14 JULAI: Seorang penduduk terkejut apabila menemukan sebutir objek dipercayai bom lama ketika melakukan kerja pembersihan di kebun kelapa sawit miliknya di Felda Bukit Senggeh, Nyalas, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Jasin Supt Mohamad Rusli Mat, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan tersebut pada 1.47 tengah hari sebelum sepasukan anggota Unit Pemusnah Bom dari Cawangan Persenjataan, Bahagian Logistik dan Teknologi, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin dikerahkan ke lokasi.
“Hasil pemeriksaan mendapati objek berkenaan merupakan bom lama jenis Unexploded Ordnance (UXO) dengan anggaran berat 227 kilogram.
“Pasukan pemusnah bom akan melaksanakan kerja pemusnahan secara terkawal esok mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
- BERNAMA