SHAH ALAM, 14 JULAI: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menawarkan 900 kupon makanan digital Platform Selangor (PLATS) bernilai RM10 sempena penganjuran Festival Turath Islami Selangor (FITS 3.0) ketika ini.
Melibatkan peruntukan RM9,000, pengarah projek PLATS berkata kupon ditawar berperingkat di perkarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah itu merupakan tanda sokongan negeri kepada peniaga serta jemaah yang menghadiri festival.
“Alhamdulillah peniaga bawah inisiatif PLATS diberi peluang untuk sertai festival ini. Pada Sabtu (lalu) 300 kupon digital ditawar manakala baki 600 lagi Khamis dan Jumaat ini.
“Kupon akan diberi kepada individu yang melengkapkan borang kaji selidik yang dibuat Institut Penyelidikan Selangor dan boleh ditebus di kenderaan saji PLATS di perkarangan masjid,” kata Hazwani Sabudin kepada Media Selangor.
PLATS diperkenal pada 2020 melaksanakan bazar Ramadan digital pertama di Malaysia bagi membantu penjaja kecil yang terjejas pendapatan susulan penularan wabak Covid-19.
Inisiatif itu diperluas setahun kemudian bagi membantu peniaga sepanjang masa, tidak terhad ketika bulan puasa sahaja dan diteruskan sehingga kini dengan kerjasama agensi berkaitan.
Sehingga kini, 43,800 usahawan sudah menyertai platform berkenaan dan MBI menyasarkan 50,000 usahawan berdaftar menjelang akhir tahun ini.
[caption id="attachment_710394" align="aligncenter" width="1170"] Kupon makanan digital Platform Selangor (PLATS) bernilai RM10 boleh ditebus di kenderaan saji PLATS di perkarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sempena penganjuran Festival Turath Islami Selangor (FITS 3.0). Foto Platform Selangor[/caption]