ad
AGENDA

Polis siasat program motivasi songsang, 50 saksi akan dipanggil

14 Jul 2025, 10:38 AM
Polis siasat program motivasi songsang, 50 saksi akan dipanggil

SHAH ALAM, 14 JULAI: Polis akan memanggil seramai 50 individu untuk memberi keterangan berhubung siasatan terhadap sebuah program motivasi rumah tangga yang didakwa mempunyai unsur songsang dan terpesong.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, keterangan daripada pasangan suami isteri yang menganjurkan program berkenaan akan diambil terlebih dahulu, lapor Sinar Harian.

"Seramai 50 orang akan dipanggil, tetapi saya tidak boleh nyatakan lagi bila mereka akan dirakam keterangan," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan pihaknya masih belum dapat mengesahkan kandungan 'Air Piya' yang didakwa mengandungi bahan mengkhayalkan selepas diminum peserta program terbabit.

Katanya, siasatan terhadap bahan itu masih berjalan dan sampel air tersebut belum dihantar ke makmal forensik.

“Jadi, kita belum dapat sahkan dakwaan kandungan bahan terlarang dalam air itu,” ujarnya.

Pada Jumaat lalu, media melaporkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menjalankan siasatan bersama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bagi menyemak kesahihan maklumat berkaitan program motivasi tersebut.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.