SHAH ALAM, 14 JULAI: Dua beranak cedera selepas bas Smart Selangor dinaiki mereka terbalik di Bukit Sentosa, Hulu Selangor hari ini.
Penolong pengarah operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor berkata kejadian kira-kira jam 11 pagi itu berpunca apabila bas dipandu lelaki berusia 57 tahun terbabas sendiri di kawasan selekoh.
“Bagaimanapun pemandu terbabit tidak mengalami kecederaan. Dua beranak iaitu seorang ibu berusia 38 tahun dan anaknya sembilan tahun cedera ringan.
“Kedua-duanya dibawa ke Hospital Kuala Kubu Baru untuk rawatan lanjut. Seorang lagi penumpang berusia 17 tahun tidak cedera,” kata Ahmad Mukhlis Mukhtar menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.16 pagi sebelum lapan anggota dari Balai Bomba Bukit Sentosa bergegas ke sana.
“Mereka tiba 11 minit kemudian dan operasi berjaya dikawal pada 11.30 pagi,” katanya.