Oleh Ufairah Tarmidzi
PETALING JAYA, 14 JULAI: KL Tigers terus mengukuhkan dominasi dalam Liga Ragbi Majlis Sukan Negeri Selangor-Kesatuan Ragbi Selangor (MSNS-KRS) 2025 selepas menewaskan pasukan tradisi, Cobra 23-15.
Ketua jurulatihnya, Zane Gardiner menyifatkan kejayaan diraih pasukan itu dalam perlawanan akhir yang cukup sengit sebagai hasil kerja berpasukan dan pemahaman taktikal yang jelas oleh barisan pemainnya.
[caption id="attachment_710286" align="alignleft" width="345"] Jurulatih KL Tigers, Zane Gardiner[/caption]
“Keputusan 23-15 membuktikan strategi perlawanan kami untuk berhadapan pasukan Cobra dalam kejohanan ini menjadi.
“Bagaimanapun, pasukan Cobra bukan lawan mudah untuk kami kerana mereka memberi tentangan hebat dari awal sampai tamat perlawanan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Kejohanan Liga Ragbi MSNS-KRS yang berlangsung di Padang Astaka, Petaling Jaya di sini, semalam.
Meskipun pasukan itu terpaksa berdepan dengan beberapa kecederaan pemain utama namun, KL Tigers kekal fokus dengan momentum permainan yang baik sepanjang 80 minit perlawanan.
[caption id="attachment_710287" align="alignnone" width="829"] Pasukan KL TIgers RFC menjulang piala selepas memenangi Liga Ragbi MSNS-KRS 2025 di Padang Astaka, Petaling Jaya, Selangor, pada 13 Julai 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Sementara itu, jurulatih Cobra tidak menafikan pasukan itu sekali lagi diuji dengan nasib tidak menyebelahi, sekali gus menyebabkan pasukannya perlu mengharungi kekecewaan yang sama seperti dalam aksi akhir musim lalu.
[caption id="attachment_710288" align="alignleft" width="345"] Jurulatih Cobra, Abdul Munim Hassan Basri[/caption]
“Saya puas hati dan bangga dengan semangat juang pasukan cuma kali ini nasib tidak menyebelahi kami.
“Perlawanan bermula dengan try pada minit pertama oleh KL Tigers yang menyebabkan kami terkejut dan bermain agak kelam-kabut,” kata Abdul Munim Hassan Basri.
Beliau juga berharap pasukannya dapat mengekalkan momentum dan terus konsisten dengan menunjukkan prestasi membanggakan untuk kembali ke pentas akhir musim depan.
Perlawanan akhir Liga Ragbi MSNS-KRS musim ini menyaksikan KL Tigers muncul juara dengan menewaskan Cobra 23-15 sementara tempat ketiga menjadi milik UiTM Lions yang menang 30-27 terhadap RMAF Blackhawk di tempat keempat.