ad
AGENDA

FRIM Taman Hutan Selangor warisan dunia: Lonjak imej negeri, rancak kempen TMS2025

13 Jul 2025, 2:32 PM
FRIM Taman Hutan Selangor warisan dunia: Lonjak imej negeri, rancak kempen TMS2025
FRIM Taman Hutan Selangor warisan dunia: Lonjak imej negeri, rancak kempen TMS2025
FRIM Taman Hutan Selangor warisan dunia: Lonjak imej negeri, rancak kempen TMS2025

SHAH ALAM, 13 JUL: Pengiktirafan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, Taman Hutan Selangor (FRIM-FPS) sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO mengukuhkan imej negeri sebagai hab ekopelancongan global, sekali gus melonjakkan kempen Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025).

Tourism Selangor dalam kenyataan memaklumkan pencapaian itu memperteguh komitmen negeri terhadap usaha pemuliharaan alam, pemeliharaan budaya serta promosi pelancongan mampan.

“Tourism Selangor akan terus bekerjasama rapat dengan para pemegang taruh bagi mempromosikan pelancongan mampan, mencipta pengalaman melancong yang mendalam selain memanfaat sosio-ekonomi hasil daripada pengiktirafan ini.

“Pada masa sama, kita menyasar pengiktirafan global UNESCO untuk Gombak-Hulu Langat Geopark menjelang 2028 dengan penilaian semula peringkat kebangsaan pada tahun depan,” katanya.

[caption id="attachment_710009" align="aligncenter" width="813"] Orang ramai merasai pengalaman berada di 'Forest Skywalk' juga dikenali Jejantas Rimba Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM). Foto BERNAMA[/caption]

Tourism Selangor turut menzahirkan komitmen berterusan menyokong FRIM dan memacu inisiatif kelestarian serta ekopelancongan di seluruh negeri.

FRIM secara rasmi diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia semasa Mesyuarat Jawatankuasa Warisan Dunia ke-47 anjuran UNESCO di Paris, Perancis yang berlangsung dari 6 hingga 16 Julai, dipengerusikan oleh Prof Nikolay Nenov dari Bulgaria.

Tapak tersebut merupakan kawasan pemulihan hutan tropika yang dibangunkan di bekas lombong bijih timah dan kini menjadi rujukan penting dalam pemulihan ekosistem global.

EXCO Kebudayaan dan Warisan, Datuk Borhan Aman Shah berkata pengiktirafan itu mengangkat Selangor sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam dan pendidikan serta mencerminkan peranan aktif negeri sebagai peneraju pelestarian warisan hijau di peringkat antarabangsa.

[caption id="attachment_710052" align="aligncenter" width="817"] Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia Taman Hutan Selangor (FRIM FPS) menerima pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Foto Facebook FRIM[/caption]

Selain FRIM-FPS, Malaysia kini memiliki enam Tapak Warisan Dunia UNESCO yang diiktiraf atas nilai alam semula jadi dan sejarahnya, iaitu:

  • Taman Kinabalu, Sabah (2000)
  • Taman Negara Gunung Mulu, Sarawak (2000)
  • Bandar Bersejarah Selat Melaka – merangkumi Melaka dan George Town, Pulau Pinang (2008)
  • Warisan Arkeologi Lembah Lenggong, Perak (2012)
  • Warisan Arkeologi Kompleks Gua Taman Negara Niah, Sarawak (2024)

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.