SHAH ALAM, 13 JUL: Pengiktirafan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, Taman Hutan Selangor (FRIM-FPS) sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO diyakini mampu melonjak profil pelancongan negara serta merangsang ekonomi berasaskan alam sekitar.
Ahli Dewan Negeri Bukit Lanjan Pua Pei Ling berkata kejayaan itu bertepatan dengan sasaran Tahun Melawat Selangor 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026 sekali gus menambah daya tarikan pelancong domestik dan antarabangsa ke negeri ini.
[caption id="attachment_632278" align="aligncenter" width="727"] Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan Pua Pei Ling pada Program sumbangan MBI kepada Komuniti Damansara Damai di Dewan Blok L Apartment Idaman, Damansara Damai pada 09 Mac 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI[/caption]
“FRIM yang terletak di kawasan DUN Bukit Lanjan meliputi 544 hektar dan berperanan sebagai pusat penyelidikan, pendidikan serta pemuliharaan hutan hujan tropika yang penting.
“Tapak ini merupakan antara projek pemulihan ekologi berskala besar terawal di dunia, mencerminkan komitmen Malaysia terhadap pembangunan mampan dan tadbir urus alam sekitar,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata pengiktirafan itu turut memperkukuh peranan FRIM dalam bidang ekologi, botani dan penyelidikan perhutanan, selain menjadi bukti sumbangan Malaysia dalam usaha global pemuliharaan biodiversiti.
Pua turut mengajak masyarakat menghargai dan memelihara khazanah hijau tersebut sebagai warisan semula jadi dan sumber ilmu yang tidak ternilai bagi generasi akan datang.
[caption id="attachment_710009" align="aligncenter" width="762"] Orang ramai merasai pengalaman berada di 'Forest Skywalk' juga dikenali Jejantas Rimba Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM). Foto BERNAMA[/caption]
Sementara itu, EXCO Kebudayaan dan Warisan Datuk Borhan Aman Shah menyifatkan pengiktirafan tersebut mengukuhkan imej Selangor sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi dan pendidikan.
Katanya, pencapaian besar itu turut mengangkat potensi negeri sebagai peneraju pelestarian warisan hijau di peringkat antarabangsa.
FRIM secara rasmi diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia semasa Mesyuarat Jawatankuasa Warisan Dunia ke-47 anjuran UNESCO di Paris, Perancis yang berlangsung dari 6 hingga 16 Julai, dipengerusikan oleh Prof Nikolay Nenov dari Bulgaria.
Tapak tersebut merupakan kawasan pemulihan hutan tropika yang dibangunkan di bekas lombong bijih timah dan kini menjadi rujukan penting dalam pemulihan ekosistem.
Selain FRIM-FPS, Malaysia memiliki lima lagi Tapak Warisan Dunia UNESCO yang diiktiraf atas nilai alam semula jadi dan sejarahnya, iaitu:
- Taman Kinabalu, Sabah (2000)
- Taman Negara Gunung Mulu, Sarawak (2000)
- Bandar Bersejarah Selat Melaka – merangkumi Melaka dan George Town, Pulau Pinang (2008)
- Warisan Arkeologi Lembah Lenggong, Perak (2012)
- Warisan Arkeologi Kompleks Gua Taman Negara Niah, Sarawak (2024)