ad
AGENDA

Polis siasat dakwaan perlakuan tidak senonoh dalam program motivasi eHATI

13 Jul 2025, 9:04 AM
Polis siasat dakwaan perlakuan tidak senonoh dalam program motivasi eHATI

SHAH ALAM, 13 JUL: Polis mengesahkan telah membuka kertas inkuiri bagi mengenal pasti kesalahan jenayah berhubung program motivasi rumah tangga eHATI yang didakwa tidak bermoral.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata beberapa saksi akan dipanggil bagi mendapatkan pengesahan, termasuk melibatkan penggunaan air yang didakwa boleh mengkhayalkan dalam masa terdekat.

"Setakat ini maklumat hanya diperoleh daripada pihak ketiga dan polis akan memanggil mana-mana individu yang terlibat bagi membuktikan sama ada wujudnya kesalahan jenayah atau sebaliknya.

"Susulan itu, polis akan membuka kertas siasatan bagi mendapatkan keterangan secara terus dan pengesahan mengenai penggunaan air tertentu atau kesalahan lain di bawah Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Hussein berkata pihaknya turut menjalin kerjasama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengikut bidang kuasa masing-masing bagi mendapatkan fakta penting berkaitan dakwaan terhadap eHATI.

Dato' Menteri Besar Selangor Dato' Seri Amirudin Shari meminta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk menyiasat dakwaan berlaku aktiviti tidak bermoral semasa penganjuran program motivasi rumah tangga di sebuah pusat konvensyen di sini.

Amirudin dilaporkan berkata semalam perkara itu perlu diambil berat dan tindakan tegas perlu diambil, jika dakwaan tersebut didapati benar setelah penyiasatan secara menyeluruh dilakukan.

Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dalam kenyataan berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 iaitu berkaitan doktrin palsu, kerana disyaki berlaku upacara atau perbuatan yang bertentangan dengan hukum syarak.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.