SHAH ALAM, 13 JUL: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengalami keletihan selepas menyertai program santai ‘Picnic & Potluck’ di Putrajaya pagi tadi.
Pembantunya Sufi Yusoff memaklumkan tokoh negarawan itu dibawa ke IJN sekitar jam 10 pagi dan kini dalam keadaan stabil selain dinasihatkan supaya berehat sepenuhnya oleh pasukan perubatan.
" Tun Dr Mahathir kini sedang dipantau di IJN akibat keletihan. Beliau sedang berehat dan dijangka pulang ke rumah selewat-lewatnya petang ini.
"Saya akan maklumkan perkembangan sebaik sahaja beliau pulang," katanya kepada pemberita.
Terdahulu, Dr Mahathir hadir ke program berkenaan sekitar jam 7.45 pagi dengan memandu sendiri sebelum menyertai aktiviti berbasikal tandem mengelilingi tasik sejauh kira-kira 9km bersama pegawai keselamatan khas.
Bagaimanapun, beliau dilapor mengalami keletihan sebaik selesai kayuhan dan berehat seketika sebelum meninggalkan lokasi acara sebelum sempat beramah mesra bersama pengunjung.
Program santai tersebut diadakan bersempena sambutan ulang tahun kelahiran ke-100 beliau pada 10 Julai lalu serta ulang tahun ke-99 isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang disambut dua hari kemudian.