SHAH ALAM, 13 JULAI: Permohonan Insentif Muassasah Haji yang melayakkan jemaah menerima sumbangan RM1,000 dibuka sehingga 25 Julai ini.
Berikutan itu, ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menggesa jemaah tahun ini segera menghantar dokumen ke pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing untuk diproses.
“Setakat ini kita sudah luluskan permohonan 3,200 jemaah dan agihkan RM3.2 juta, masing-masing terima RM1,000.
“Dalam tempoh kurang dua minggu ini, kita harap jemaah yang belum berbuat demikian untuk segera memohon,” kata Ahmad Azri Zainal Nor.
Tahun ini, Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta meneruskan insentif yang diperkenal sejak 2022 bagi meringankan beban kewangan ditanggung jemaah dari Selangor.
Bermula tahun lepas, nilai insentif haji dinaikkan kepada RM1,000 berbanding RM500 pada 2022 dan 2023 dan setakat tahun lalu, seramai 12,000 jemaah sudah mendapat manfaat.