Oleh Anna Farina Abdul Rauf
SHAH ALAM, 13 JULAI: Kerajaan Negeri komited memperkasa kawasan luar bandar melalui perancangan menyeluruh melibatkan pembangunan infrastruktur serta kemudahan teknologi.
EXCO kemajuan desa yang menekankan kepentingan pentadbiran kampung sebagai asas pembangunan lestari berkata masih terdapat kawasan luar bandar yang belum mendapat liputan jalur lebar sempurna.
Justeru, Datuk Rizam Ismail berkata usaha mewujudkan Pusat Smart Desa yang menyediakan akses internet dan komputer kepada penduduk setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) giat dijalankan.
“Kini kita sudah wujudkan empat Pusat Smart Desa, antaranya di DUN Sungai Air Tawar dan Kuala Langat, Kerajaan Negeri mengambil serius perkara ini dengan sentiasa memantau dan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan.
“Ini antara inisiatif untuk memastikan anak-anak di luar bandar tidak keciciran dari sudut teknologi, khususnya teknologi AI,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.
[caption id="attachment_710177" align="alignnone" width="828"] EXCO Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna, Datuk Rizam Ismail ketika menjadi tetamu Bicara Semasa dengan tajuk Agenda Luar Bandar, Perpaduan dan Pengguna pada 3 Julai 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
Beliau turut menyeru agar ciri-ciri tradisi dan etnik di kampung seperti Banjar, Jawa dan Bugis terus dikekalkan, selari dengan penambahbaikan landskap dan sektor ekonomi.
“Kalau dulu orang desa nak ke bandar, sekarang dah terbalik, orang bandar nak ke desa. Sebab itu kita memastikan pembangunan ini dapat dijalankan di kawasan luar bandar,” ujarnya.
Gagasan Rumpun Selangor diperluas
Mengulas mengenai Gagasan Rumpun Selangor (GRS), Rizam menyifatkan program itu satu kejayaan besar dalam memupuk perpaduan hasil kesungguhan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dalam menyantuni rakyat pelbagai kaum.
“Saya kagum kita mempunyai seorang Raja Muda yang sangat berjiwa rakyat, Baginda merendah diri dalam berdepan dengan masyarakat,” katanya.
Beliau turut memaklumkan GRS 2.0 sedang dirancang dengan skala lebih besar dan kerjasama lebih erat antara Kerajaan Negeri dan pihak istana.
“Insya-Allah program akan datang ini mungkin akan dibuat dengan lebih besar, Dato' Menteri Besar juga akan turun mengetuai program ini bersama DYTM Raja Muda,” ujarnya.
[caption id="attachment_697448" align="alignnone" width="913"] DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (tengah) bermah mesra bersama orang ramai pada Program Ekplorasi Gagasan Rumpun Selangor peringkat Gombak 2025 di Pasar Malam Taman Samudera, Batu Caves pada 16 April 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Koperasi jadi benteng kos sara hidup
Dalam menangani isu kos sara hidup, Rizam menjelaskan koperasi mampu menjadi mekanisme efektif bagi menstabilkan harga barangan asas, berdasarkan model yang berjaya diamalkan di negara maju seperti Jepun.
“Di Jepun, selepas era Perang Dunia Kedua, koperasi memainkan peranan penting daripada peringkat pertanian sehinggalah ke pengedaran. Mereka tidak bergantung kepada pasar borong atau swasta,” katanya.
Di peringkat negeri, inisiatif seperti Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) bertujuan memperkasakan koperasi dan petani tempatan, agar mereka mempunyai medan pasaran tersendiri yang lebih mampan.
“Kita perlu ada sistem yang kerajaan boleh kawal agar hasil tani agar tidak rosak atau dibuang begitu sahaja. Saya yakin sistem ini mampu bantu kerajaan dan rakyat, tapi ia perlukan masa dan usaha berterusan,” katanya.
[caption id="attachment_693247" align="alignnone" width="1012"] EXCO Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Datuk Rizam Ismail meninjau jenis barangan dikawal musim perayaan ketika Pemeriksaan Pematuhan SHMMP Aidilfitri 2025 Oleh KPDN Selangor di Pasar Raya Econsave Jalan Reko, Bangi pada 25 Mac 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Fokus kebajikan rakyat
Rizam turut menzahirkan keyakinan terhadap kekuatan Kerajaan Perpaduan di Selangor yang menurutnya dibentuk atas semangat kerjasama pelbagai parti, di bawah pimpinan Dato' Seri Amirudin Shari.
Beliau turut menyifatkan kekuatan kerajaan negeri terletak pada kemampuan meraikan pelbagai latar politik dalam satu gabungan kukuh yang memfokus kepada nasib rakyat dan pemerkasaan ekonomi.
“Sebab itu hari ini kita menjadi penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, ia tidak datang bergolek, tetapi hasil kepimpinan dan penyusunan pentadbiran yang baik oleh kerajaan,” ujarnya.