ad
AGENDA

Kerajaan bantu veteran ATM jadi usahawan, sedia latihan digital dan alatan niaga

12 Jul 2025, 10:30 AM
Kerajaan bantu veteran ATM jadi usahawan, sedia latihan digital dan alatan niaga

ALOR GAJAH, 13 JUL: Kerajaan akan terus memperkasakan ekonomi golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Program Pemerkasaan Usahawan Veteran (PUVET) dengan menyediakan pelbagai bantuan seperti peralatan, latihan dan modal perniagaan bagi meningkatkan daya saing mereka.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata antara inisiatif terbaharu di bawah PUVET ialah latihan perniagaan digital bagi usahawan veteran yang akan dilaksanakan di Kelantan dalam masa terdekat.

"Ini merupakan projek perintis dikenali sebagai 'Beg Kuning' dengan usahawan veteran yang dikenal pasti akan dilatih untuk menjalankan perniagaan digital iaitu secara dalam talian.

"Program ini hasil kerjasama Kementerian Pertahanan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan beberapa agensi lain," katanya kepada pemberita di Kampung Lendu di sini hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan kebajikan dan menyantuni veteran ATM menerusi Program Peduli Veteran Madani (PVM) yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM Sophian Isswandy Ismail.

Adly berkata menerusi kerjasama dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), geran sebanyak RM1 juta turut disalurkan kepada PUVET setiap tahun sejak diperkenalkan pada 2023.

“Menerusi geran RM1 juta yang diperuntukkan itu mereka yang terpilih menerima geran dalam bentuk barangan bernilai sekitar RM5,000 termasuk makanan ikan, benih, peralatan dan mesin asas perniagaan,” katanya.

Beliau berkata hampir 70 peratus daripada 5,000 veteran yang berpencen memilih menceburi bidang keusahawanan dan program seperti PUVET dilihat penting bagi memberi sokongan menyeluruh kepada mereka.

“Selain bantuan peralatan, kita juga sediakan latihan peningkatan kemahiran (upskilling) dan pemahiran semula (reskilling) termasuk dalam bidang perniagaan digital seperti pemasaran dalam talian.

“Melalui pendekatan menyeluruh seperti PUVET ini, kita bukan hanya bantu veteran berdikari, tetapi juga memperkukuh peranan mereka sebagai penyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Pada program PVM itu Adly menyantuni 26 keluarga veteran ATM termasuk balu dan usahawan di sini dan di Jelebu, Negeri Sembilan.

Lawatan itu melibatkan penyampaian Pingat Jasa Malaysia (PJM) serta bantuan baik pulih rumah, kesihatan, pendidikan, sara hidup dan bakul Rahmah selain sokongan perniagaan kepada veteran serta balu dan usahawan.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.