Oleh Aliff Haiqal Mohamed
SHAH ALAM, 12 JULAI: Pengiktirafan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia Taman Hutan Selangor (FRIM FPS) sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO mengukuhkan imej Selangor sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam sekitar dan pendidikan.
EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah berkata pencapaian besar itu turut mengangkat potensi negeri sebagai peneraju pelestarian warisan hijau di peringkat antarabangsa.
"Sebagai produk pelancongan bertaraf antarabangsa, FRIM dijangka menarik kehadiran pelancong, penyelidik dan penggiat alam sekitar dari seluruh dunia," katanya dalam kenyataan.
Tambah Borhan, pengiktirafan ini bukan sahaja mengangkat nilai sejarah, saintifik dan ekologi FRIM, malah secara tidak langsung meningkatkan visibiliti Malaysia di mata dunia.
FRIM FPS secara rasmi diangkat sebagai Tapak Warisan UNESCO pada sesi Mesyuarat Jawatankuasa Warisan Dunia ke-47 (47th World Heritage Committee) yang berlangsung dari 6 hingga 16 Julai 2025 di Ibu Pejabat UNESCO di Paris, Perancis.
Menurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), keputusan tersebut dibuat oleh 21 negara anggota Jawatankuasa Warisan Dunia yang dipengerusikan oleh Prof. Nikolay Nenov dari Bulgaria.
FRIM FPS merupakan tapak yang istimewa dan menjadi salah satu inisiatif terawal pemulihan ekosistem hutan tropika berskala besar melalui penanaman semula pokok di bekas kawasan perlombongan bijih timah.
Selain FRIM FPS, Malaysia sebelum ini telah menerima pengiktirafan Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi lima lokasi iaitu Taman Kinabalu (2000), Taman Negara Gunung Mulu (2000), Bandar Bersejarah Selat Melaka, Melaka dan George Town (2008), Warisan Arkeologi Lembah Lenggong (2012) dan Warisan Arkeologi Kompleks Gua Taman Negara Niah (2024).