SHAH ALAM, 12 JULAI: Jalan Tengku Kelana, Klang kini tampil lebih segar dan berwarna-warni dengan mural baharu bertemakan "Rasa & Warna – A Celebration of Malaysia’s Flavors and Colors Through Art".
Projek seni jalanan hasil karya artis mural tempatan, Yaulacap dibawakan khas oleh Nutriplus bagi menambah tarikan visual bandar raya Klang.
Keharmonian rakyat berbilang kaum dan keramahan terhadap pelancong asing diadun dalam mural yang memaparkan simbolik hidangan ikonik lontong Klang yang dinikmati di warung mamak.
Latar mural turut menampilkan suasana penuh gelak tawa, semangat pasukan bola sepak Selangor serta budaya kopitiam yang menjadi nadi kehidupan masyarakat di tengah bandar.
[caption id="attachment_709998" align="alignnone" width="828"] Datuk Bandar Klang Dato’ Abd Hamid Hussain (tiga, kiri) meninjau projek seni jalanan bertemakan "Rasa & Warna – A Celebration of Malaysia’s Flavors and Colors Through Art" di Jalan Tengku Kelana, Klang. Foto Facebook MBDK[/caption]
Karya berkenaan turut mendapat perhatian Datuk Bandar Klang Dato’ Abd Hamid Hussain yang turun padang meninjau mural tersebut bersama Ahli Majlis P Yugarajah.
"Seni ini bukan sekadar hiasan, tetapi lambang kebanggaan, perpaduan dan identiti tempatan," maklum Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menerusi hantaran di Facebook.