ad
BUDAYA

Menjadi Para Hal Kecil (6)

12 Jul 2025, 12:30 AM
Menjadi Para Hal Kecil (6)

(34600, pada satu ahad bulan mei)

kepada riba siapa? rindu purba ini wajar tiba-tiba tiba, jika semalaman, realiti menyembunyi bulan sampai pagi, kitakah? mampu nyala semula anggun unggun harapan pada waktu rindu menggeliat di ruang temu macam koko menunggu ‘mak di ruang tamu.

kerana tentu tak ada lebih rindu kalau malam ini gagal bertemu, telah kupesan para makanan terhidang antara riang menu kehidupan meniru deriakau janggal tunggal menganjal, demi mengaku selama ini gagalku sejitu setuju alangkah sekufu: bah kuah dal dan sesudu dua sambal pada pagi pernikahan roti telur dan roti kosong, tapi tahun-tahun kupakai usia kulliyyah, setiap rindu menerpa bertapa di meja kafe sebagai: roti canai potong-potong banjir! atau daging burger kahwin balut telur tak nak roti tak nak kubis! atau deria ini (tandatangani janji sunyi) berevolusi: kuetiau goreng daging pattaya tak nak sayur! maka, apa? rasa lain yang termungkin selain rindu sedang semakin tercerakin.

tetapi (tak perlu lagi berselindung di belakang rindu) tenang di depan, sekarang, berpada cuma ada sepasang cinta yang kadang-kadang terlupa cinta ialah apa-apa selain lafaznya. di mukim kita, dewasa oleh: kata-kata tak mengenyangkan, lelaki, kalau juga perempuan, ialah tabung cahaya cinta, dan cinta itu sendiri ialah apa-apa selain lafaznya! sekali kutuliskan, kebenaran ialah cahaya, begitukah cinta? sering seiring sejumlah lembut cahaya seadanya lahir kemudian lahir kemudian lahir dari rahim kemesraan demi terzahir pancar pada mata, mewakili perarakan tentera kata tertib belaka. ketara semasa cinta kehabisan suara, selalu ada cara untuk mata berbicara: pada reben yang mengikat kita, terbaca renda rindu menyeru setia

dan padan, bukan? ucapan terima kasih bergayut sampai ke telinga nokia, seakan perempuankau mustahil diburu cemburu diam-diam tergenggam pisau risau! (serupa kemeja petak-petak merah/putih, tahun ke tahun dr. fahd menyarung kesetiaan) tentulah, 'yah, 3310 paling afdal ditabal jadi simbol sakral: tak ada iri berdiri di sisi kiri, apalagi membisiki keliru rindu meluru, berperang di jurang jemu.

lelakiku, di warung itu, kalau licik telefon bimbit tak membelit (antara kita) ralit, berbalah sendawa tak betah membelah ketawa (umpama sepasang kecewa bergema di meja sebelah), walau selalu ada soalan untuk tak saling bertemu jawaban, pasti kini berkongsi situasi, kewaspadaan pun semakin perang terpanggang, perempuan-perempuankau sedar: sedang cukup sekadar cukup, sampai para orang percaya, selalu ada jalan untuk kembali bertembung di depan (macam mengemas rasa rimas, para lampu panas lebih masa bertugas, tunggu, telunjuk anak tuan warung pada akhir akan ke suis sebelum mata kita berkudis).

Fadhilah Ad Deen

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.