SHAH ALAM, 12 JULAI: Polis membuka kertas siasatan berhubung laporan dibuat penyanyi Shila Amzah yang mendakwa diserang seorang penyanyi legenda kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata pihaknya sudah merakam keterangan dua individu bagi membantu siasatan kes berkenaan, lapor Harian Metro.
"Setakat ini, individu yang dikatakan menyerang penyanyi itu masih belum dipanggil, namun tindakan sedang diambil untuk mendapatkan keterangan daripadanya.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya, menambah Shila membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 5.31 petang Khamis.
Mohamed Usuf Jan berkata siasatan awal mendapati kejadian tidak membabitkan kecederaan atau sentuhan secara fizikal.
Sebelum ini, penyanyi yang nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah mendakwa dirinya diserang secara terbuka oleh seorang artis bertaraf legenda ketika sesi latihan bagi sebuah konsert.