ad
AGENDA

Asean sokong Myanmar pulih keamanan, pulangkan pelarian secara selamat

11 Jul 2025, 2:34 PM
Asean sokong Myanmar pulih keamanan, pulangkan pelarian secara selamat

KUALA LUMPUR, 11 JUL: Menteri-Menteri Luar Asean menyokong usaha Myanmar memulihkan keamanan dan kestabilan di negara itu, di samping menekankan keperluan proses penghantaran pulang yang selamat dan secara sukarela pelarian domestik dari wilayah Rakhine.

Dalam Kenyataan Bersama Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean (AMM) ke-58 yang dikeluarkan pada Jumaat, blok itu kekal komited untuk memupuk perpaduan dan usaha perdamaian dalam kalangan komuniti di Rakhine, serta memastikan keselamatan dan perlindungan kepada penduduk terjejas.

“Kami menegaskan semula sokongan Asean terhadap usaha Myanmar untuk mempromosikan keamanan, kestabilan dan kedaulatan undang-undang di negara itu.

“Kami menekankan kepentingan untuk memastikan keselamatan dan perlindungan untuk semua komuniti, serta memudahkan penghantaran pulang pelarian secara sukarela, selamat dan bermaruah,” menurut kenyataan itu.

Asean mengalu-alukan kerjasama berterusan antara Myanmar dan Bangladesh, termasuk inisiatif penghantaran pulang secara dua hala bagi pelarian yang telah disahkan dari Rakhine.

“Kita menantikan peranan berterusan Asean dalam memudahkan proses penghantaran pulang khususnya melalui pelaksanaan projek susulan berdasarkan syor Penilaian Keperluan Awal (PNA),” menurut kenyataan itu.

Menerusi Kenyataan Bersama itu, Asean berharap keadaan akan membolehkan pelaksanaan Penilaian Keperluan Komprehensif (CNA) dalam masa terdekat, di samping menggesa Setiausaha Agung terus meneroka bidang kerjasama yang sesuai bagi menyokong proses penghantaran pulang secara berkesan.

AMM ke-58 yang bermula 8 Julai lepas di bawah Kepengerusian Asean Malaysia 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” telah melabuhkan tirai hari ini.

Lebih 1,500 delegasi negara anggota Asean dan rakan luar telah menyertai 24 mesyuarat peringkat menteri sepanjang empat hari penganjurannya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

– BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.