KUALA LUMPUR, 11 JULAI: Polis menafikan bahawa seorang anggota polis trafik tidak memberhentikan motosikal yang ditunggangnya selepas bergesel dengan sebuah motosikal lain yang menyebabkan penunggang motosikal itu terjatuh ke atas jalan raya.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata anggota yang sedang menjalankan tugas rasmi di Subang Jaya dengan menunggang motosikal jenis BMW itu, berhenti kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian bagi mengelakkan risiko bahaya kepada kenderaan lain di jalan raya.
Beliau berkata situasi itu adalah bertentangan dengan paparan video 17 saat yang tular pada 6.50 petang semalam di Facebook, mendakwa anggota polis bermotosikal itu tidak berhenti selepas bergesel dengan motosikal jenis Honda ADV di Lebuhraya Subang-Kelana Jaya Link.
“Anggota PDRM itu juga telah memberikan bantuan kepada mangsa bersama orang awam sebelum mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini sebagai mengulas kandungan video tular itu.
Wan Azlan berkata siasatan awal mendapati kemalangan di Lebuhraya Subang-Kelana Jaya Link itu berlaku apabila motosikal BMW yang ditunggang di lorong kanan telah mengubah haluan ke lorong kiri namun bergesel dengan motosikal Honda yang berada di lorong tengah.
Beliau berkata pergeselan dua motosikal itu menyebabkan penunggang motorsikal Honda lelaki berumur 20 tahun terjatuh ke kiri jalan dan kes siasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya Insp Fatin Husna Khairuzzaman di talian 017-3012621.
-- BERNAMA