Oleh Danial Dzulkifly
KUALA LUMPUR, 11 JUL: Malaysia menggesa agar semua bentuk keganasan di Palestin dan Ukraine dihentikan segera selain menyeru negara peserta Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) bertindak tegas mempertahankan undang-undang antarabangsa, keadilan dan nilai-nilai kemanusiaan sejagat.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata penderitaan berterusan rakyat Palestin akibat pendudukan rejim Israel yang berpanjangan telah mendorong kepada kekejaman tanpa hukuman.
“Lapan puluh tahun kekebalan daripada tindakan telah membolehkan Israel berani melakukan genosid secara terbuka, termasuk mencetuskan kebuluran besar-besaran yang turut meragut nyawa bayi dan kanak-kanak. Ini tidak boleh diterima dan mesti dihentikan,” katanya.
Berucap ketika Mesyuarat Menteri-Menteri Luar EAS ke-15 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini, Mohamad menegaskan bahawa konflik global termasuk di Palestin, Ukraine dan wilayah lain hanya boleh diselesaikan melalui saluran diplomatik berlandaskan prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Jelasnya, negara-negara anggota EAS perlu kembali kepada semangat asal penubuhan forum itu yang bertujuan mempromosi keamanan, kestabilan dan kemakmuran rantau dengan ASEAN sebagai teras.
“Dalam dunia yang saling terhubung hari ini, keamanan, kestabilan dan kemakmuran adalah milik bersama. Kita mesti bekerjasama untuk memelihara dan terus mengembangkannya,” katanya.
Beliau turut menyifatkan EAS sebagai semakin penting ketika rantau Asia Timur berdepan pelbagai cabaran termasuk persaingan kuasa besar, pemisahan ekonomi, gangguan teknologi dan ancaman keselamatan rentas sempadan.
“Dengan gabungan keluaran dalam negara kasar (KDNK) nominal berjumlah AS$68 trilion (RM292 trilion), negara-negara dalam dewan ini menyumbang lebih separuh daripada ekonomi dunia,” katanya.
Malaysia menjadi tuan rumah Mesyuarat Menteri-Menteri Luar EAS tahun ini sebagai sebahagian daripada peranannya selaku Pengerusi ASEAN 2025.
Mesyuarat itu berlangsung di bawah rangkaian Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 serta mesyuarat berkaitan dari 8 hingga 11 Julai.