ad
PBT

MPKS serbu hotel operasi tanpa lesen meski dikompaun sejak 2018

11 Jul 2025, 6:23 AM
MPKS serbu hotel operasi tanpa lesen meski dikompaun sejak 2018

Oleh Ufairah Tarmidzi

SHAH ALAM, 11 JULAI: Sebuah hotel dua tingkat di Taman Sri Pristana, Sungai Buloh yang masih berdegil meneruskan operasi secara haram sejak tujuh tahun lalu diserbu semalam.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) berkata premis terbabit telah beberapa kali dikenakan kompaun sejak 2018 termasuk yang terbaharu pada April lalu.

“Serbuan yang dilakukan kira-kira jam 10 pagi itu melibatkan 21 anggota dijalankan bertujuan untuk membanteras aktiviti perniagaan tanpa kebenaran sah di kawasan pentadbiran MPKS.

“Sebelum ini, MPKS sudah berkali-kali mengeluarkan kompaun kesalahan kepada pemilik premis tersebut dan memberi peluang kepada mereka untuk memohon lesen perniagaan dengan pihak majlis.

“Justeru, operasi penguatkuasaan semalam itu dijalankan selepas pemilik premis bertindak untuk mengendahkan perkara tersebut dan masih meneruskan perniagaan mereka secara haram,” kata Mohamad Lutfi Mislah Hudin.

Tambah beliau, tindakan kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Hotel (MDKS) 2013 dan Undang-Undang Kecil Iklan (MDKS) 2007 atas kesalahan beroperasi dan mempamerkan iklan tanpa lesen turut dikenakan.

Menurut Mohamad Lutfi, notis dan kompaun turut dikeluarkan mengikut Seksyen 70(11) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) atas kesalahan mengubah suai bangunan tanpa kelulusan bertulis daripada MPKS.

Dalam pada itu, beliau menegaskan semua pengusaha premis sentiasa mematuhi peraturan dan mendapatkan kelulusan sah sebelum memulakan operasi.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.